Pelabuhan kontena pintar AI pertama akan dibina di PD

Aminuddin (dua dari kiri) menyerahkan dokumen kerjasama dengan Tanco Holdings Berhad diwakili Andrew (dua dari kanan) bagi membina pelabuhan kontena AI di Port Dickson.
Aminuddin (dua dari kiri) menyerahkan dokumen kerjasama dengan Tanco Holdings Berhad diwakili Andrew (dua dari kanan) bagi membina pelabuhan kontena AI di Port Dickson.
A
A
A

KERAJAAN Negeri Sembilan bekerjasama dengan Tanco Holdings Berhad di bawah anak syarikat Midports Holding Sdn Bhd untuk membina pelabuhan kontena pintar kecerdasan (AI) pertama di negara ini.

Pelabuhan yang akan dibina di Pasir Panjang, Port Dickson di kawasan seluas kira-kira 194 hektar itu dengan tambahan 33.66 hektar tanah dasar laut melibatkan peruntukan RM2 bilion daripada pihak swasta.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pelabuhan berkenaan secara asasnya mempunyai jeti sepanjang 1.8 kilometer (km) serta terminal dan kawasan pengoperasian kontena seluas lebih kurang 81 hektar.

"Ia akan dilengkapi sepenuhnya dengan kren gantri yang dioperasikan secara automatik dan kapasiti pelabuhan ini dibina untuk menerima kapal-kapal kontena daripada generasi pertama sehingga ke Ultra Max.

"Namun ia merupakan sebuah pelabuhan sederhana kerana dari segi kapasiti ia tidak boleh bersaing dengan Pelabuhan Klang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama antara kerajaan negeri melalui Menteri Besar Negeri Sembilan(Perbadanan) (MBINS) dan Midports Holding Sdn Bhd di sini pada Isnin.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Pengarah Urusan Tanco Holdings Berhad, Datuk Seri Andrew Tan Jun Suan.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MBINS berkata, hasil dari kajian yang dilakukan, kawasan tersebut sememangnya bersesuaian untuk pembinaan

Artikel Berkaitan:

pelabuhan dengan kedalaman sehingga 20 meter dalam dan lebih kurang 1.85km jarak dari persisiran pantai.

Ujarnya, kawasan tersebut telah diwartakan sebagai Had Pelabuhan oleh Kerajaan Persekutuan sejak 22 Ogos 2017.

"Maka dengan pembinaan pelabuhan ini, ia sekaligus akan merancakkan lagi industri perkhidmatan logistik dan pengangkutan marin negara.

"Ini kerana kedudukan lokasi yang sangat strategik iaitu berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta jaringan jalan raya dan lebuh raya yang menghubungkan ke pelbagai kawasan strategik lain seperti kawasan perindustrian sekitar Sepang, Senawang, Nilai dan Melaka," katanya.

Tambahnya, dengan adanya pelabuhan ini kelak Bandar Port Dickson bukan hanya dikenali sebagai Bandar Tentera Darat sahaja, bahkan juga akan dikenali sebagai 'Bandar Pelabuhan Baharu' yang akan menjadi salah satu jaringan pengangkutan laut domestik dan antarabangsa.

Malah katanya, difahamkan dengan wujudnya pelabuhan ini nanti, ia bakal menyediakan 5,000 peluang pekerjaan baharu pelbagai bidang sekali gus menggalakkan pembangunan kawasan industri baharu di negeri ini.

Sementara itu Anthony berkata, kementeriannya telah pun memberi kelulusan dasar untuk pelaksanaan projek tersebut.

Bagaimanapun ujarnya, ada beberapa syarat-syarat teknikal yang perlu dipatuhi syarikat termasuklah beberapa kajian teknikal yang perlu dilaksanakan sebelum diserahkan kepada Jabatan Laut untuk dibuat penilaian.

"Kita berharap pihak syarikat dapat memenuhi syarat-syarat ditetapkan dan laksanakan semua kajian mengikut garis masa yang telah ditetapkan.

"Semoga projek ini dapat berjalan lancar dan pembinaannya dapat dimulakan secepat mungkin supaya menjelang beberapa tahun akan datang infrastruktur ini dapat direalisasikan dan seterusnya melonjakkan ekonomi di Negeri Sembilan," katanya.

Tambahnya, dengan pembinaan pelabuhan tersebut, beliau percaya ia dapat memberikan perkembangan positif terhadap pelaburan di Negeri Sembilan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!