Bapa saudara galas tanggungjawab jaga Attar Azim

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Bapa saudara kepada Attar Azim Syukran Jamil akan menggalas tanggungjawab menjaga kanak-kanak berkenaan yang telah kehilangan empat ahli keluarga termasuk ibu bapanya dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 76.5 Jalan Kota Bharu - Gua Musang dekat Kampung Pahi, Kuala Krai, Kelantan pada Sabtu lepas.

Nor Azam Ab Hamid, 45, berkata, tugas menjaga Attar Azim berusia sembilan tahun itu yang merupakan anak kepada arwah adiknya, Syukran Jamil Ab Hamid, 35, akan dilaksanakannya sebaik mungkin.

Nor Azam merupakan anak keempat manakala Syukran Jamil anak kelapan daripada sembilan adik-beradik.

"Setelah berbincang, keluarga kami di (Felda) Trolak yang akan menjaga Attar," katanya ringkas ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri akan memberikan bantuan yang sewajarnya kepada Attar Azim.

Beliau berkata, pihak JKM telah mengadakan kunjungan ke rumah waris keluarga Attar Azim di Felda Trolak Utara, Sungkai hari ini.

"Kebiasaannya, kıta akan memberikan bantuan kanak-kanak, sekiranya waris tiada untuk menjaganya, kita akan tempatkan di rumah perlindungan. Insya-ALLAH kıta akan bantu mengusahakan untuk bantuan kanak-kanak kepada adik Attar Azim," katanya.

Semalam, jenazah Syukran Jamil dan isterinya, Noor Aishah Razali, 35, bersama dua anak mereka, Ahya Rafiqi, 6, dan Lufya Adeena berusia setahun selamat dikebumikan di dalam satu liang lahad kira-kira jam 11 malam.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian pada 1.40 tengah hari Sabtu lepas, Syukran Jamil bersama Noor Aishah dan Lufya Adeena disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Ahya Rafiqi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital, namun Attar Azim terselamat dan hanya mengalami kecederaan.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika Perodua Myvi dipandu Syukran Jamil dari arah Kota Bharu menghala ke Gua Musang bertembung dengan sebuah Nissan March dipandu warga Thailand yang masuk ke laluan dari arah bertentangan.

Kelima-lima mereka dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menziarahi ahli keluarga dan bercuti di Kota Bharu, Kelantan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!