Permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong bermula hari ini - JPA
PUTRAJAYA - Warganegara Malaysia yang berkelayakan dipelawa memohon Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) Tahun 2024 bermula hari ini hingga 29 Mac, menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
JPA dalam kenyataan hari ini memaklumkan biasiswa itu merupakan biasiswa berprestij tinggi di bawah tajaan kerajaan bagi mengikuti pengajian di peringkat Sarjana (Penyelidikan) atau Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), ekonomi, undang-undang, kewangan Islam dan kecerdasan buatan (AI) di institusi pengajian tinggi tempatan atau universiti terkemuka dunia.
"Pemohon boleh melengkapkan borang permohonan secara dalam talian melalui portal https://bmipenajaan.jpa.gov.my mulai 4 Mac 2024 hingga 29 Mac 2024," menurut kenyataan itu.
Menurut JPA borang permohonan yang lengkap berserta dokumen sokongan yang berkaitan hendaklah dihantar dan diterima oleh pihak JPA sebelum atau pada 5 April ini sama ada melalui serahan tangan atau pos.
Kenyataan itu memaklumkan syarat permohonan BYDPA Tahun 2024 antaranya ialah warganegara Malaysia berumur tidak melebihi 35 tahun pada 1 Januari lepas.
Syarat lain termasuk mempunyai keputusan akademik yang amat cemerlang iaitu Ijazah Sarjana Muda yang diiktiraf oleh kerajaan dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) minimum 3.75 atau kelas pertama atau setaraf dengannya bagi calon Sarjana, manakala Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana yang diiktiraf oleh kerajaan dengan CGPA minimum 3.75 atau kelas pertama atau yang setaraf dengannya bagi calon PhD.
Selain itu, pemohon juga telah mendapat tawaran tanpa syarat atau telah memulakan pengajian secara sepenuh masa pada 2024 di institusi pengajian tinggi tempatan atau luar negara yang disenaraikan oleh JPA mengikut bidang pengajian masing-masing.
JPA turut memaklumkan pengajian bagi peringkat Sarjana adalah secara mod penyelidikan sahaja yang mewajibkan penyediaan kertas penyelidikan, disertasi atau tesis.
Pemohon juga perlu terlibat dalam penghasilan kerja-kerja kreatif dan inovatif seperti penulisan, reka cipta seni atau teknologi dan sebagainya dengan calon Sarjana penglibatan secara aktif adalah satu kelebihan, manakala calon PhD penglibatan adalah wajib.
Menurut JPA, keutamaan akan diberikan kepada calon yang aktif dalam kegiatan ko-kurikulum atau aktiviti kemasyarakatan.
"Permohonan yang memenuhi syarat serta melepasi saringan lanjut pihak JPA sahaja akan disenarai pendek untuk menghadiri temu duga.
"Sebarang pertanyaan lanjut mengenai penawaran ini, layari portal https://bmipenajaan.jpa.gov.my atau hubungi talian 03-88853053/3879 pada setiap hari bekerja dari 9 pagi hingga 5 petang atau e-mel kepada penawaranldp@jpa.gov.my,” menurut kenyataan itu. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!