Tiada kompromi anggota polis langgar etika kerja - Saifuddin
PUTRAJAYA - Demi menjaga imej dan reputasi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota dan pegawai yang mempunyai masalah disiplin serta melanggar etika kerja.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendekatan pihaknya adalah toleransi sifar terhadap perbuatan tidak beretika, rasuah serta penyelewengan anggota dan pegawai PDRM.
"Dalam Perhimpunan Bulanan KDN, saya telah menyampaikan mesej berkaitan 'zero tolerance' terhadap perlanggaran (disiplin) itu," katanya ketika ditemui media dalam majlis ringkas di kediamannya, di sini, pada Isnin.
Saifuddin berkata, media sebelum ini melaporkan mengenai masalah disiplin, pelanggaran etika kerja, rasuah dan jenayah dalam kalangan anggota polis.
"Perkara ini menjadi isu besar kerana polis merupakan pasukan penguat kuasa keselamatan untuk menjaga keamanan dan ketenteraman awam.
"Jadi apabila perlanggaran itu melibatkan anggota polis, ia akan menjadi tumpuan rakyat," ujarnya.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay telah menyampaikan mesej itu (toleransi sifar) kepada warga PDRM.
"Razarudin juga telah turun ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah, selain berkomunikasi dengan petugas Unit Kereta Peronda (MPV) bagi memastikan mereka patuh disiplin dan ikut panduan yang telah ditetapkan.
"Tindakan atau 'omnipresence' beliau (Razarudin) itu memberikan dorongan luar biasa kepada anggota PDRM," ujarnya.
Saifuddin berkata, apabila berlaku pertemuan di peringkat Bukit Aman, Ayob Khan atau Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mereka memberikan mesej dengan cara 'polis'.
"Barang kali bahasa mereka kasar, tetapi itulah kaedah mereka menyampaikan mesej," katanya.
Saifuddin berkata, beliau juga berpeluang menyampaikan amanat serta mengingatkan semula tugas dan tanggungjawab utama PDRM pada program pertemuan bersama pegawai polis di Desaru, Johor Bahru, pada minggu lalu.
"Kita mendapati kepimpinan utama PDRM mengambil pendekatan 'reach out' sampai ke peringkat bawah, saya anggap pendekatan ini satu tindakan yang boleh membantu memberi dorongan dan motivasi kerja dalam kalangan anggota," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!