[VIDEO] Cukai Barang Bernilai Tinggi libatkan golongan kaya - Amir Hamzah

A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan ketika ini sedang menggubal perundangan baharu bagi melaksanakan Cukai Barang Bernilai Tinggi pada kadar lima hingga 10 peratus.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, cukai berkenaan akan dikenakan berdasarkan nilai ambang tertentu yang ditetapkan bagi setiap barangan terlibat.

“Cukai ini juga bersifat progresif kerana ia dikenakan ke atas mereka yang mampu membeli barang bernilai tinggi dan tidak membebankan golongan yang berpendapatan rendah.

“Kerajaan Madani juga komited untuk mengukuhkan kewangan negara dengan mampan supaya dapat menyokong agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Amir Hamzah ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto: Bernama
Amir Hamzah ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto: Bernama

Beliau berkata demikian menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang memintanya menyatakan iltizam dan kesediaan kerajaan untuk memperkenalkan lebih banyak alternatif percukaian progresif dalam usaha meningkatkan pendapatan negara serta menangani defisit.

Kerajaan pada Rabu lalu mengumumkan kenaikan cukai perkhidmatan kepada lapan peratus berbanding enam peratus berkuat kuasa pada 1 Mac lepas.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peningkatan tersebut tidak melibatkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas serta menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat di negara ini.

Sementara itu, Amir Hamzah menjelaskan, kerajaan juga terbuka untuk mengkaji langkah-langkah cukai yang boleh menambah hasil kepada negara.

Namun katanya, kajian tersebut turut mengambil kira ia tidak mendatangkan kesan jangka panjang terutama kepada rakyat untuk kemudian hari.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!