Sebab musabab mengapa ramai simpan impian cium hajarulaswad
KISAH tentang hajarulaswad hangat diperkatakan ketika ini. Memang sejak dari dahulu lagi, batu tersebut menjadi dambaan ramai orang untuk disentuh mahupun dicium.
Pasti ada sebab musababnya sehingga ada yang begitu ghairah untuk mendekati batu berkenaan.
Ketahuilah bahawa hajarulaswad sebenarnya diturunkan dari syurga sebagaimana disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam hadis Baginda.
Perkara itu dikongsikan oleh pendakwah Ustaz Mohamad Dhiyauddin Abdul Kadir atau lebih dikenali sebagai Ustaz Addien Abdul Kadir yang diulang siar di platform X miliknya baru-baru ini.
Jelas beliau, batu tersebut pada asalnya berwarna putih, namun menjadi hitam kerana dosa-dosa anak Adam.
“Orang berebut hendak cium sebab Nabi dulu pernah cium hajarulaswad dan kata bahawa ia akan jadi saksi di akhirat bagi sesiapa yang menyentuhnya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran dikongsikan di media sosial miliknya.
Bagi menguatkan lagi hujahnya, beliau kemudian mengemukakan tiga dalil yang memerihalkan tentang hajarulaswad.
Antaranya Nabi Muhammad SAW bersabda: “Hajar al-Aswad duturunkan dari syurga. Warnanya lebih putih daripada susu lalu menjadi hitam kerana dosa-dosa anak Adam.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Dalam satu riwayat lain, Umar al-Khattab berkata: “Demi ALLAH! Jika bukan kerana aku melihat Rasulullah SAW menciummu, pasti aku tidak akan menciummu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Satu lagi dalil, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Demi ALLAH, ALLAH akan utuskan batu hajar al-Aswad itu di hari kiamat memiliki dua mata yang melihat dan lisan yang berbicara menjadi saksi kepada sesiapa yang benar-benar menyentuhnya.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Senada dengan Addien ialah pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus.
Beliau menegaskan, memang benar asal usul hajarulaswad itu dari syurga sebagaimana dinyatakan jelas dalam hadis dikemukakan tadi.
“Perkataan hajar dari bahasa Arab yang bermaksud batu, manakala aswad pula ertinya hitam. Maka, hajar aswad membawa maksud batu yang hitam.
“Ketika Nabi Ibrahim AS membina Kaabah, kekurangan sebiji batu. Lalu, disuruh Nabi Ismail AS untuk mencari sebiji batu, lalu Baginda membawa sebiji batu yang sehingga ke hari ini dikenali sebagai hajarulaswad sebagaimana diceritakan oleh Imam Ibnu Kathir,” katanya.
Suatu perkara menarik tentang hajarulaswad, ujar Azhar, diriwayatkan ia boleh berkata-kata yang mana menjadi saksi bagi sesiapa yang menyentuhnya.
Ia sebagaimana dinyatakan dalam hadis Nabi Muhammad SAW: “Bahawasanya batu ini mempunyai lidah dan bibir yang akan menjadi saksi sesiapa yang telah menyentuhnya pada hari kiamat nanti.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!