'Langkawi tidak hilang magis'
ALOR SETAR - Pulau Langkawi tidak kehilangan magisnya apabila jumlah pelancong direkodkan ke destinasi perlancongan itu kembali meningkat selepas pandemik Covid-19, sekaligus terus menjadi pilihan pelancong.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, ia berdasarkan usaha yang telah diambil dan contoh pencapaian yang menjadi bukti bahawa Langkawi tidak pernah hilang magisnya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah (BPEN) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) sedang melaksana dan merancang pelbagai inisiatif pada 2024 bagi memastikan semua matlamat dapat dicapai dan Langkawi terus menjadi pilihan sebagai destinasi pelancongan pasaran domestik dan antarabangsa.
"Ia termasuklah menawarkan Program Insentif Penerbangan Sewa Khas berdasarkan Blueprint Pelancongan Langkawi, yang mana setakat ini sebanyak 6 Penerbangan Sewa Khas dijadualkan dari Chengdu ke Langkawi dengan anggaran keseluruhan penumpang seramai 1,080 orang.
"Satu lagi laluan Penerbangan Sewa Khas adalah dari Chongqing, China ke Langkawi dengan kekerapan sebanyak sebanyak dua kali,"katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini pada Isnin.
Beliau berkata sedemikian ketika menjawab pertanyaan lisan Loh Wei Chai (Bakar Arang-PKR) tentang strategi dan inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan kerajaan negeri Kedah untuk mengembalikan jumlah pelancong ke Langkawi ke tahap sebelum pandemik Covid-19.
Mohd Salleh memberitahu, bermula 10 Februari lepas, syarikat Flydubai juga telah memulakan laluan penerbangan terus ke Langkawi yang dijadualkan tujuh kali seminggu.
"Pembukaan laluan ini akan memberi manfaat ekonomi kepada penduduk Langkawi dengan kedatangan pelancong daripada Asia Barat, Eropah, Afrika dan lain-lain," katanya.
Kongsi beliau, Langkawi juga telah menerima 16 kapal persiaran mewah yang berlabuh di Langkawi Cruise Terminal (CT) sehingga 18 Februari lalu.
Beliau memaklumkan, inisiatif juga diambil untuk mempelbagaikan produk pelancongan bagi menarik minat pelancong dan repeat tourist melalui inisiatif Pembangunan Produk Pelancongan seperti MAHA Tower, Eagle Nest sehinggalah Dream Forest.
Mohd Salleh berpandangan, kerajaan negeri yakin tidak sukar untuk mencapai sasaran 3 juta pengunjung ke Langkawi pada 2024 bersandarkan pada rekod dan momentum yang ada sekarang.
Menurutnya, selain statistik kemasukan pelancong dan resit pelancongan ke Langkawi, bukti keberkesanan strategi yang diambil dapat dilihat daripada jumlah pengiktirafan dan anugerah diterima Langkawi dan LADA seperti Government Service Delivery for MICE Tourism Promotion Strategies oleh IBR Global Maritime and Aerospace Awards 2023.
"Antara lain, Leading Government Tourism Board of The Year 2023 oleh Asian Tourism & Hospitality, (ATH) Awards 2022 – 2023, Best Wedding Destination 2023 oleh World Islamic Tourism Award, Top 10 Islands In The World – Ranked no 5 oleh Condé Nast Traveler Top Islands: Readers’ Choice Awards serta Top 9 Best Islands in the World - World’s Best A,"katanya.
Tambah beliau, Langkawi juga sering menjadi pilihan sebagai destinasi acara Meetings, Incentives, Conferences & Exhibitions (MICE) di rantau ini memandangkan ia menawarkan
kemudahan dan fasiliti kumpulan MICE serta keindahan alam semula jadi masih terpelihara.
"Sejak lama dahulu Langkawi terkenal melalui penganjuran acara pelancongan antarabangsa, dan sehingga kini imejnya kekal begitu.
"Pada 2024, sebanyak 26 acara telah dan akan diadakan di Langkawi. Antara yang utama adalah 20th Royal Langkawi International Regatta 2024, Langkawi International Regatta Perdana, Iroman Malaysia, Langkawi International Half Marathon dan lain-lain," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!