Anwar bertemu pengurusan kanan syarikat terkemuka Australia

Anwarbergambar bersama wakil syarikat selepas Mesyuarat Meja Bulat dengan pemain industri di Australia. Foto Bernama
Anwarbergambar bersama wakil syarikat selepas Mesyuarat Meja Bulat dengan pemain industri di Australia. Foto Bernama
A
A
A

MELBOURNE - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu pemimpin perniagaan dan eksekutif tertinggi daripada 18 syarikat Australia di Melbourne pada Selasa semasa lawatan rasminya ke Australia, menggalakkan mereka untuk mengembangkan perniagaan dan pelaburan di Malaysia.

Selain daripada sesi perbincangan meja bulat, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengadakan pertemuan satu dengan satu untuk mendengar pandangan mereka.

Eksekutif syarikat yang terlibat adalah daripada sektor pembuatan, termasuk peranti perubatan dan logam, serta sektor perkhidmatan seperti pusat data, kewangan dan perdagangan.

Anwar menegaskan bahawa Malaysia, di bawah kepimpinannya, telah melaksanakan dasar yang jelas dan berkesan yang menyumbang kepada tahap pelaburan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Beliau berkata, kerajaan yang kukuh pada masa ini menjadi faktor utama untuk menarik pelabur ke Malaysia.

Anwar mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Macquarie, Shemara Wikramanayake selepas menghadiri Mesyuarat Meja Bulat dengan pemain industri di Australia. Foto Bernama
Anwar mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Macquarie, Shemara Wikramanayake selepas menghadiri Mesyuarat Meja Bulat dengan pemain industri di Australia. Foto Bernama

"Kami telah memperkenalkan dasar baharu dengan jelas...dan hasilnya, kami telah meraih pelaburan perdagangan domestik dan asing, yang tertinggi dalam sejarah (Malaysia)," katanya.

Pada bulan lepas, Anwar mengumumkan bahawa Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM329.5 bilion pada 2023, meningkat 23.0 peratus daripada 2022.

Artikel Berkaitan:

Anwar berkata, daripada jumlah tersebut, pelaburan asing merupakan penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2 peratus berbanding pelaburan domestik sebanyak 42.8 peratus.

Pada 2023, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Australia berjumlah AS$18.57 bilion (RM84.64 bilion), dengan Australia menjadi rakan dagang ke-10 terbesar Malaysia.

Sehingga Disember tahun lepas, Australia mempunyai pelaburan diluluskan di Malaysia yang melibatkan 582 projek, dengan pelaburan yang direalisasikan sebanyak 366 projek. - Bernama


Tujuh syarikat Australia akan bawa pelaburan baharu, tambah pelaburan ke Malaysia - Tengku Zafrul

MELBOURNE - Tujuh syarikat Australia telah menyatakan komitmen untuk membawa pelaburan baharu dan menambah pelaburan sedia ada ke Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Kesemua syarikat itu telah memaklumkan perkembangan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mereka bertemu dengan Anwar di Melbourne pada Selasa.

Perdana Menteri sedang mengadakan lawatan rasmi selama empat hari ke Australia.

Beliau berkata, antara aktiviti pelaburan yang akan dibawa masuk ke Malaysia adalah teknologi hijau dan tenaga guna baharu.

Anwar berbincang bersama Tengku Zafrul dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan selepas Mesyuarat Meja Bulat dengan pemain industri di Australia pada Selasa. Foto Bernama
Anwar berbincang bersama Tengku Zafrul dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan selepas Mesyuarat Meja Bulat dengan pemain industri di Australia pada Selasa. Foto Bernama

"Insya-ALLAH, komitmen tujuh syarikat itu (pelaburan baharu dan menambah pelaburan) kini di peringkat akhir," katanya ketika ditemui media Malaysia di Melbourne pada Selasa.

Anwar yang juga Menteri Kewangan mengadakan pertemuan dengan tokoh perniagaan dan eksekutif kanan 18 syarikat terkemuka Australia dalam sesi perbincangan meja bulat pada Selasa, selain mengadakan sesi bersemuka satu dengan satu untuk mendengar pandangan mereka.

Menurut Tengku Zafrul, Anwar turut bertemu wakil Lynas pada Selasa dan sebarang isu berbangkit berkaitan syarikat pengeluar nadir bumi itu berjaya diselesaikan.

Dalam sesi meja bulat pula, Tengku Zafrul berkata, antara perkara yang dibangkitkan oleh syarikat yang hadir adalah mengenai proses memudah cara pelaburan dan perdagangan, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan peranan Malaysia dalam perdagangan global. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!