Sambutan positif Program Repatriasi Migran - Saifuddin

Saifuddin.
Saifuddin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Program Repatriasi Migran bermula 1 Mac lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk pulang ke negara asal tanpa dikenakan tindakan pendakwaan.

Setakat Isnin, seramai 1,774 membabitkan PATI lelaki, wanita dan kanak-kanak teleh mendaftarkan diri dalam Program Repatriasi Migran.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya sentiasa memantau program itu setiap hari.

"Trend sambutan program itu positif, kita turut bekerjasama dengan beberapa kedutaan antaranya Indonesia dan Nepal yang membantu menguruskan pembayaran tanpa tunai untuk warganegara mereka.

"Malah kedutaan tersebut turut menyediakan pengangkutan ke pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Ia menunjukkan bahawa mereka membantu kita menghantar rakyat mereka pulang ke negara asal," katanya ketika ditemui media dalam majlis ringkas di kediamannya, di sini, pada Isnin.

Saifuddin berkata, warga asing tanpa memiliki pas perjalanan yang sah atau tinggal lebih masa hanya akan kompaun sebanyak RM500 jika mereka ingin pulang ke negara asal melalui program berkenaan.

"Warga asing yang menyalahgunakan pas perjalanan atau permit pula mereka hanya akan dikenakan kompaun RM300 untuk kembali ke negara asal mereka," ujarnya.

Pada 1 Mac lalu, PATI digesa merebut peluang untuk pulang ke negara asal dengan pengecualian pendakwaan di mahkamah melalui Program Repatriasi Migran yang bermula 1 Mac sehingga 31 Disember depan.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin dilaporkan berkata, PATI yang hadir menyerah diri ke mana-mana pejabat Imigresen hanya dikenakan kompaun.

Selepas membayar kompaun berkenaan, PATI boleh meninggalkan negara ini tanpa dikenakan tindakan.

Menurutnya, program berkenaan itu sekali gus mengurangkan jumlah keberadaan PATI di Malaysia, di samping mengimbangi elemen keselamatan serta menjana pulangan kepada negara.

Ujar Saifuddin, pendaftaran dan pelaksanaan Program Repatriasi Migran dilaksanakan sepenuhnya oleh Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) tanpa melibatkan pihak ketiga.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!