Wan Saiful sekali lagi mohon maaf, Ahmad Zahid tarik balik usul

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan sekali lagi memohon maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim susulan kenyataan yang dibuatnya di Dewan Rakyat minggu lalu.

Sambil mengakui kenyataan berkait isu korup yang dibuat pada 28 Februari ketika membahaskan Titah Diraja ditujukan kepada Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, beliau turut menarik balik tuduhan tersebut.

“Saya menarik balik ayat dan kenyataan tersebut serta memohon maaf atas kenyataan yang dibuat. Saya dengan rendah diri juga memohon keampunan atas kekhilafan sekiranya menyentuh perihal Yang di-Pertuan Agong,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberi peluang kepada Wan Saiful ‘membela diri’ sebelum membenarkan usul dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Johari bagaimanapun menerima permohonan maaf tersebut dan dalam masa sama meminta Ahmad Zahid turut berbuat demikian.

“Saya anggap ini episod yang telah berlalu. Jadi sekali lagi saya minta semua ahli Dewan Rakyat di sebaliknya kanan dan kiri untuk bergerak ke depan. Saya juga minta semua yang berhormat bincang masalah rakyat dengan lebih tertib dan lebih aman.

“Terima kasih kepada kepada wakil rakyat di sebelah kanan dan kiri. Saya tutup kes ini,” katanya.

Menerusi Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) Dewan Rakyat pada Selasa, Ahmad Zahid dijadual mengemukakan usul supaya Wan Saiful digantung daripada perkhidmatan Majlis Mesyuarat selama enam bulan dari tarikh keputusan usul tersebut diluluskan.

Artikel Berkaitan:

Ia susulan tindakan ahli Parlimen pembangkang itu didakwa mengeluarkan sangkaan jahat terhadap Anwar, selain turut menggunakan nama Sultan Ibrahim bagi mempengaruhi Dewan Rakyat.

Susulan keputusan Johari itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah bangkit meminta semua pihak mengambil iktibar daripada insiden berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Johari atas tindakan bijaksana yang diambilnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!