Ketua penolong setiausaha IT kementerian didakwa kemuka dokumen palsu

Seorang ketua penolong setiausaha bahagian pengurusan teknologi maklumat (IT) di sebuah kementerian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas 11 pertuduhan mengemuka dokumen palsu membabitkan kerugian lebih RM6,000 enam tahun lalu.Gambar hiasan
Seorang ketua penolong setiausaha bahagian pengurusan teknologi maklumat (IT) di sebuah kementerian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas 11 pertuduhan mengemuka dokumen palsu membabitkan kerugian lebih RM6,000 enam tahun lalu.Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua penolong setiausaha sebuah kementerian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas 11 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berhubung tuntutan sewaan hotel, elaun perjalanan dan bayaran tol berjumlah lebih RM6,000, enam tahun lepas.

Ku Aznal Shahri Ku Abd Hamid, 49, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Ku Aznal Shahri sebagai Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajaya didakwa membuat tuntutan palsu membabitkan sewaan lima hotel berjumlah RM5,344, elaun perjalanan sebanyak RM645.50 dan bayaran tol RM63.40 yang kesemua berjumlah RM6,052.90.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat, KDN Putrajaya antara 2 Mei dan 7 Ogos 2018, mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Akta itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Yasri Yahya menawarkan jaminan RM4,000 dengan syarat tambahan iaitu pasport perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai, selain tertuduh harus melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM serta tidak mengganggu mana-mana saksi.

Peguam G. Sylvester yang mewakili tertuduh tidak membantah jumlah jaminan yang ditawarkan pihak pendakwa.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan syarat tambahan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 18 April ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!