Sistem pendidikan negara rosak akibat pemimpin terdahulu
SHAH ALAM - Meskipun sekolah kebangsaan mempunyai guru terlatih dan berkemahiran namun segelintir ibu bapa memilih untuk menghantar anak mereka ke sekolah swasta.
Kecenderungan ibu bapa berbuat demikian dipengaruhi beberapa faktor utama termasuk tahap kepercayaan mereka terhadap sistem pendidikan negara.
Pengasas Kumpulan Brainy Bunch dan Kumpulan Raudhan, Fadzil Hashim berkata, sistem pendidikan negara dirosakkan pemimpin terdahulu.
Menurutnya, pelbagai perubahan drastik dilakukan pemimpin berkenaan tanpa mengambil kira implikasi jangka panjang kepada pelajar.
"Bukan tak percaya secara keseluruhan. Cikgu di sekolah kerajaan dari dulu cukup terlatih dan mahir.
"Secara dasar saya percaya sistem pendidikan negara. Sebelum ini kita jarang dapat menteri pendidikan dari latar belakang bidang pendidikan.
"Perubahan drastik dilakukan pemimpin terdahulu yang merosakkan sistem pendidikan negara," katanya selaku panelis pada Wacana Sinar Siri 148 bertajuk Masa Depan Pendidikan Negara di Dewan Karangkraf, Seksyen 15 di sini hari ini.
Dua panelis lain, mantan Ahli Jawatankuasa Dasar Pendidikan Negara, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dr Putri Afzan Maria Zulkifli dan Tokoh Guru Kebangsaan 2019, Nawi Ismail.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Arba, Azlan Shah Nabees Khan sebagai moderator.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!