Ketua penolong setiausaha IT didakwa kemuka dokumen palsu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ketua penolong setiausaha sebuah kementerian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas 11 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berhubung tuntutan sewaan hotel, elaun perjalanan dan bayaran tol berjumlah lebih RM6,000, enam tahun lepas.

Ku Aznal Shahri Ku Abd Hamid, 49, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut 11 pertuduhan utama, lelaki itu didakwa memberi beberapa dokumen bagi tuntutan sewaan hotel RM5,344, elaun perjalanan (RM645.50) dan tol (RM156.80) kepada seorang setiausaha bahagian pengurusan IT, dengan niat memperdayakan bahagian kewangan kementerian itu.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat, KDN Putrajaya antara 2 Mei dan 7 Ogos 2018, mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah yang menjadi hal perkara kesalahan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dia juga mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan pilihan bagi kesalahan sama, iaitu menggunakan sebagai tulen beberapa dokumen tuntutan sewaan hotel, elaun perjalanan dan tol, yang diketahui palsu, di lokasi serta tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Yasri Yahya menawarkan jaminan RM4,000 dengan syarat tambahan iaitu pasport perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai, selain tertuduh harus melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM serta tidak mengganggu mana-mana saksi.

Peguam, G Sylvester yang mewakili tertuduh tidak membantah jumlah jaminan yang ditawarkan pihak pendakwa.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan syarat tambahan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 18 April ini untuk sebutan semula kes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!