KDA FC berjaya dapatkan khidmat Syafiq Ahmad
KEDAH Darul Aman (KDA) FC mengesahkan berjaya mendapatkan khidmat penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad berstatus pemain pinjaman bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2024/25.
“Pihak pengurusan KDA FC menjunjung kasih dengan perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim memberi persetujuan untuk pemain kelab tersebut mewakili KDA FC musim ini,” katanya kelab tersebut pada Selasa.
Kehadiran semula Muhammad Syafiq ke Darul Aman secara tidak langsung menamatkan spekulasi apabila khidmatnya juga diintai beberapa pasukan lain.
Pemain itu mengakui gembira kembali ke pasukan yang menjadi pentas buat dirinya mencipta nama di dalam dunia bola sepak.
“Saya akan usaha bantu naikkan nama Kedah dan yang penting prestasi saya dapat dipertingkatkan.
"Kedah ada penyokong yang cukup besar, dengan perancangan terkini, senarai pemain baru yang masuk musim ini, saya dan rakan sepasukan berazam untuk naikkan nama Kedah, digeruni kembali,” katanya.
Sebelum ini, pemain berusia 28 tahun itu berada dalam senarai Harimau Selatan untuk dipinjamkan kepada pasukan lain termasuk Akhyar Rashid dan Safawi Rashid yang telah dipinjamkan kepada Terengganu FC.
Selain itu, bekas tonggak pertahanan Sabah FC, Mohd Rizal Ghazali yang mencipta nama bersama skuad Hijau Kuning sebelum ini juga antara barisan yang kembali memperkuatkan cabaran kelab utara tanah air itu pada musim ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!