Kate Middleton dilihat buat kali pertama sejak jalani pembedahan
LOS ANGELES - Buat pertama kali, Puteri Wales, Kate Middleton dilihat di khalayak ramai sejak menjalani pembedahan perut pada pertengahan Januari lalu.
Puteri Britain berusia 42 tahun itu pulih setelah berehat di rumah di Widsor, barat London sejak meninggalkan hospital pada 29 Januari.
Gambar yang diterbitkan portal TMZ menunjukkan Kate memakai cermin mata hitam berada di dalam kereta, dengan laman berita selebriti itu mengatakan ia diambil pada Isnin berhampiran Istana Windsor.
Bagaimanapun, beberapa media utama di United Kingdom (UK) termasuk Daily Mail dan The Sun telah memilih untuk tidak menyiarkan gambar tersebut.
“Kami tidak menyiarkannya kerana menghormati hak peribadi beliau sementara pulih daripada pembedahan dalam skala masa yang diberikan kepada kami,” kata editor diraja ITV News, Chris Ship di platform X.
Kemunculan Kate berlaku apabila media sosial telah didedahkan dengan pelbagai teori konspirasi mengenai ketiadaan puteri yang terkenal kerana bekerja keras dan berbakti kepada rakyat.
Spekulasi tetap tersebar walaupun Istana Kensington dengan jelas menyatakan pada masa pembedahannya, Kate tidak akan kembali melakukan tugas awam sehingga selepas perayaan Easter.
Minggu lalu, Putera William menarik diri daripada menghadiri upacara peringatan dengan memberikan alasan urusan peribadi dan mencetuskan lebih banyak khabar angin.
Istana Kensington enggan mengulas lanjut mengenai penarikan diri Putera William itu pada saat-saat akhir, namun menjelaskan Kate 'semakin pulih'.
Kemasukan Kate ke hospital hampir serentak dengan pengumuman bapa Putera William, Raja Charles yang dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan berkaitan kanser prostat.
Charles, 75, juga telah menarik diri daripada tugas awam semasa rawatannya, namun menghadiri upacara di gereja dan mengadakan pertemuan mingguan dengan perdana menteri. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!