[VIDEO] Kedai runcit sorok minyak peket, gula dalam stor

A
A
A

MELAKA - Pemilik sebuah restoran mamak di Melaka Raya,di sini, seolah-olah tamak dan 'kebal' apabila berani membuka kedai runcit meskipun belum mendapat sebarang kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Lebih memeranjatkan kedai runcit yang didakwa baharu 10 hari beroperasi dan terletak bersebelahan restoran mamak itu, dipercayai turut menjual barangan keperluan bersubsidi berjumlah hampir satu tan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar, berkata, berdasarkan maklumat orang awam, pihaknya telah menyerbu kedai runcit itu yang kebanyakan barangan jualan dalam premis tersebut tidak dipamerkan tanda harga.

Norena (dua,kiri) menunjukkan sebahagian barang bersubsidi yang dirampas dalam operasi itu di Melaka Raya di sini, pada Selasa.
Norena (dua,kiri) menunjukkan sebahagian barang bersubsidi yang dirampas dalam operasi itu di Melaka Raya di sini, pada Selasa.

Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan berjaya menemui kira-kira 493 kilogram minyak masak peket dan 276 peket gula pasir disorokkan dalam sebuah stor yang turut menyimpan barang binaan seperti simen di bahagian belakang kedai runcit terbabit.

"Hasil pemeriksaan, kedai runcit ini tidak mempunyai lesen pihak berkuasa tempatan dan lesen pemborong.

"Kita percaya, tindakan mereka untuk bekalkan barangan bersubsidi seperti tepung, gula dan minyak masak ke restoran sama termasuk dijual pada harga lebih mahal kepada pengguna," katanya ketika sidang akhbar selepas operasi itu di Melaka Raya, di sini, pada Selasa.

Tambahnya turut dirampas 50 peket tepung gandum satu kilogram, 276 peket serta dua tong gas LPG yang mana kesemua barangan bersubsidi itu dianggarkan berjumlah 845 kilogram bernilai kira-kira RM2,000.

Artikel Berkaitan:

Beberapa kotak minyak masak peket yang disorokkan dalam stor bersama bahan binaan lain.
Beberapa kotak minyak masak peket yang disorokkan dalam stor bersama bahan binaan lain.

"Kita juga akan melakukan siasatan terhadap pemborong yang menghantar barangan subsidi di premis itu dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya terbukti melakukan kesalahan.

"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan premis gagal mengemukakan sebarang dokumen permit kebenaran menyimpan barang kawalan berjadual," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!