Berhati-hati skim penipuan guna AI sunting imej pemimpin negara

Nie Ching bercakap kepada pemberita selepas melancarkan ABU Digital Broadcasting Symposium 2024 pada Selasa. Foto Bernama
Nie Ching bercakap kepada pemberita selepas melancarkan ABU Digital Broadcasting Symposium 2024 pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching mengingatkan pengguna media sosial supaya lebih berhati-hati dengan sindiket penipuan menggunakan kandungan yang dihasilkan oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memperdaya orang ramai.

Beliau mengeluarkan peringatan itu susulan penyebaran satu klip video yang memaparkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap mengenai satu skim pelaburan dengan jaminan pulangan lumayan yang disunting menggunakan teknologi AI.

Nie Ching berkata, beliau telah menghantar pautan video berkenaan kepada pihak Meta untuk diturunkan daripada semua platformnya.

"Ini bukan kali pertama saya terima aduan mengenai video Perdana Menteri yang dihasilkan dengan AI untuk tujuan penipuan skim pelaburan. Kita sebagai rakyat perlu berhati-hati," katanya kepada pemberita sambil menambah adalah tidak munasabah seorang Perdana Menteri bercakap mengenai skim seperti itu.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan ABU Digital Broadcasting Symposium 2024, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, syarikat gergasi teknologi atau penyedia platform media sosial seperti Meta, TikTok dan Google juga perlu mengkaji kaedah untuk memaklumkan jika sesuatu kandungan dihasilkan menggunakan teknologi AI supaya pengguna tidak mudah tertipu.

"Kerajaan juga sedang mengkaji kaedah untuk merapatkan kerjasama dengan syarikat gergasi teknologi atau penyedia platform mengenai perkara ini," katanya.

Menurut Nie Ching, masyarakat sememangnya digalakkan untuk menggunakan teknologi baharu seperti AI, namun pada masa sama perlu berhati-hati atas risiko dan cabaran yang dibawa teknologi berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!