'Arwah Izatul hasrat jual ketupat, rendang semasa Ramadan'

Yusnita (kiri) dan ahli keluarga menunjukkan gambar Allahyarham Izatul Azwa.
Yusnita (kiri) dan ahli keluarga menunjukkan gambar Allahyarham Izatul Azwa.
A
A
A

SABAK BERNAM - Remaja perempuan yang ditemui maut dalam kemalangan selepas dilaporkan hilang sejak tujuh hari lalu berhasrat menjual ketupat dan rendang semasa Ramadan ini.

Ibunya, Yusnita Abdullah Yusof, 44, berkata, hasrat itu diluahkan Allahyarham, Izatul Azwa Norollah, 17, kira-kira dua bulan lalu.

"Arwah beritahu dia hendak berniaga di tepi jalan berdekatan rumah dan minta suami saya mencari daun ketupat dan memasak rendang.

"Sejak kecil lagi dia (Izatul) memang minat berniaga dan berkebolehan menebar roti canai serta martabak.

"Hati saya remuk apabila terbayangkan hasrat arwah mahu berniaga rendang pada Ramadan ini bagi menambah pendapatan dan membantu keluarga," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Tebuk Jawa, Sungai Air Tawar di sini pada Selasa.

Allahyarham Izatul Azwa yang dilaporkan hilang sejak minggu lalu terungkai apabila mayatnya dijumpai dalam parit selepas terbabas di Kilometer (KM) 54 Jalan Klang-Teluk Intan, Sungai Haji Dorani di sini pada Ahad.
Allahyarham Izatul Azwa yang dilaporkan hilang sejak minggu lalu terungkai apabila mayatnya dijumpai dalam parit selepas terbabas di Kilometer (KM) 54 Jalan Klang-Teluk Intan, Sungai Haji Dorani di sini pada Ahad.

Menurut Yusnita, kehilangan anak kedua daripada enam beradik itu menyedihkan apatah lagi bakal menyambut ulang tahun kelahirannya pada Aidilfitri ini.

"Saya rasa sebak bila mengenangkan dia memang bersemangat setiap kali menyambut lebaran, alangkah hibanya bila dia tidak bersama kami kali ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Yusnita, Allahyarham Izatul dilihat kali terakhir keluar rumah untuk mengambil wang gaji sebagai pekerja katering separuh masa dan menemui rakannya pada 25 Februari lalu.

"Saya sempat berpesan kepada Izatul segera pulang, namun dia hanya tersenyum dan beredar menunggang motosikal kakaknya.

"Saya juga mengesyaki sesuatu kerana dia masih tidak pulang ke rumah pada waktu malam dan keluarga membuat laporan polis keesokannya," ujarnya.

Jelas Yusnita, naluri keibuannya itu ternyata benar apabila dimaklumkan anak sulungnya mengenai pemergian Allahyarham Allahyarham Izatul itu kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin.

"Saya terima WhatsApp daripada anak sulung dan luluh hati apabila dimaklumkan anak saya sudah meninggal dunia," jelasnya.

Tambah beliau, Allahyarham Izatul yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah Sungai Air Tawar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebuk Jawa kira-kira jam 6.30 petang Ahad.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, tanda tanya kehilangan seorang remaja perempuan sejak minggu lalu terungkai apabila mayatnya dijumpai dalam parit selepas terbabas di Kilometer (KM) 54 Jalan Klang-Teluk Intan, Sungai Haji Dorani di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd Alias berkata, mayat mangsa berusia 17 tahun itu ditemui bersama motosikal Yamaha Y15ZR ditunggangnya.

Siasatan awal mendapati mangsa yang datang dari arah Sekinchan dipercayai hilang kawalan dan terjunam ke dalam parit

"Mayatnya dibawa ke Hospital Sabak Bernam bagi bedah siasat dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!