Jualan Agro Madani: Tiada subsidi khusus kerana tiada kos orang tengah
KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tidak menyediakan sebarang subsidi khusus kepada peniaga yang menyertai Jualan Agro Madani, namun peniaga tetap dapat menawarkan harga barangan yang lebih murah, Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ini kerana mekanisme program itu adalah jualan secara terus tanpa melalui orang tengah yang membolehkan pengguna menikmati harga 10 hingga 30 peratus lebih murah, manakala petani dan peniaga masih dapat meraih keuntungan.
Beliau berkata, KPKM menyasarkan sebanyak 5,000 program Jualan Agro Madani pada tahun ini bagi mencapai sasaran keseluruhan 10,000 program bagi tempoh 2023 hingga 2024.
Selain itu, Arthur memaklumkan terdapat beberapa program jualan murah yang turut dilaksanakan kementerian dan agensi lain seperti Jualan Rahmah, namun pelarasan bersama perlu dilakukan supaya pelaksanaannya lebih berkesan dan bersasar.
"Perbezaan setiap program jualan ini ialah dari segi peserta jualan, lokasi dan modal pelaksaannya. Bagi Jualan Agro Madani melibatkan peserta ladang kontrak FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan), LPP (Lembaga Pertubuhan Peladang) dan LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia), manakala Jualan Rahmah melibatkan peserta peruncitan dan Jualan Madani Koperasi membabitkan koperasi,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang ingin tahu perbezaan program Jualan Agro Madani, Jualan Rahmah dan Jualan Madani Koperasi, serta pemberian subsidi bagi pelaksaan program selain mencadangkan agar pelarasan bersama dibuat untuk keberkesanan program.
Arthur berkata, Jualan Agro Madani dilaksanakan di premis kerajaan, outlet pengumpulan hasil ladang dan kawasan penduduk B40 dan M40 berkepadatan tinggi, manakala Jualan Rahmah di premis pasar raya dan Jualan Madani Koperasi di premis koperasi.
Menjawab soalan asal Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong) berhubung kemampuan Jualan Agro Madani dilaksana secara meluas dan berterusan, Arthur berkata, program itu akan diadakan secara berterusan.
"Bagi menjamin kelangsungan pelaksanaan program ini, KPKM melaksanakan program ini di pelbagai lokasi seluruh negara dengan memastikan penglibatan usahawan dan peserta Ladang Kontrak KPKM dari kawasan sekitar.
"Selain itu, usahawan pemasar yang dibangunkan melalui Program Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran (RPKP) di bawah FAMA turut diberi peluang untuk terlibat secara langsung," katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!