Raja Norway perlukan perentak jantung kekal
OSLO - Raja Norway Harald V akan menerima perentak jantung kekal, menurut keluarga diraja pada Isnin, lapor agensi berita Jerman dpa.
Harald, 87, gering semasa bercuti di Malaysia dan dimasukkan ke hospital di sana minggu lepas. Pada Isnin baginda berangkat pulang ke tanah air menaiki pesawat khas yang singgah di Emiriah Arab Bersatu dalam laluannya.
Menurut pegawai Oslo, baginda dipasang dengan perentak jantung sementara di Malaysia sebelum penerbangan pulang, yang menurut doktor peribadinya untuk keselamatan sepanjang perjalanan pulang.
Harald kini berada di hospital di Oslo. Baginda dikatakan semakin pulih daripada jangkitan, namun tahap denyutan jantungnya masih rendah yang memerlukan perentak jantung kekal.
Prosedur itu dilaporkan akan dilakukan sebaik jangkitan sembuh sepenuhnya.
Beberapa anggota keluarga diraja menziarahi baginda di hospital pada Isnin, termasuk Permaisuri Sonja dan Putera Mahkota Haakon.
Baginda mengambil cuti sakit selama dua minggu dan tugas baginda akan diambil alih oleh Haakon sebagai pemangku raja. - Bernama-dpa
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!