Aaron-Wooi Yik masih belum cukup kental
Gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik ternyata masih belum cukup kental ketika berdepan pasangan ‘The Minions’ di Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2020 di Arena Axiata, Bukit Jalil di sini hari ini.
Malah keadaan serba tidak menjadi pasangan negara pada perlawanan pusingan kedua jelas mengundang kekecewaan mereka yang terpaksa akur dengan ketangkasan beregu utama dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia.
Pasangan negara, yang menghuni ranking kelapan dunia itu, longlai apabila tewas 15-21, 11-21 dalam perlawanan yang berlangsung hanya 26 minit.
Dalam pada itu, langkah lebih cemerlang buat pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh Soon Huat-Shevon Lai yang mara ke suku akhir selepas menewaskan lawan masing-masing pada pusingan kedua.
Peng Soon-Liu Ying, yang merupakan pasangan profesional negara, menyingkirkan Choi Solgyu-Shin Seung Chan dari Korea Selatan 21-13, 21-13 dalam masa 31 minit untuk berdepan pasangan Jepun, Takuro Hoki-Wakana Nagahara.
Sebelum itu, gandingan Jepun itu mengejutkan pasangan pilihan keempat dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, 21-17, 23-21 dalam masa 39 minit.
Pasangan Soon Huat-Shevon yang juga pilihan kelapan kejohanan bakal berdepan beregu campuran utama dunia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China.
Pasangan negara sebelum itu menewaskan pasangan dari Perancis, Thim GIcquel-Delphine Delrue 21-16, 21-14, manakala pasangan China pula mengalahkan gandingan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet 21-10, 21-14. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!