At-Tawarruq dalam perkhidmatan Ar Rahnu mulai bulan depan
KUALA LUMPUR - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) akan melaksanakan konsep baharu dinamakan At-Tawarruq dalam perkhidmatan Ar Rahnu atau pajak gadai Islam mulai bulan depan.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd Daud Bakar berkata, konsep berkenaan merupakan pinjaman berasaskan penggabungan kontrak qard (pinjaman), rahn (cagaran) dan wadi’ah yad dhamanah (simpanan) dengan berlandaskan piawaian Syariah.
“Secara ringkasnya, operasi masih sama cuma skim ini lebih suci dan murni dari segi Syariah. Sebelum ini, kita melaksanakan konsep pinjaman yang ada keuntungan, ia kurang menepati piawaian Syariah.
“Upah simpan tidak lagi relevan dalam konteks ini kerana kita mengambil untung secara langsung daripada margin atau daripada At-Tawarruq tersebut,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau turut berharap konsep At-Tawarruq itu dapat dikembangkan dan diaplikasikan oleh agensi lain di dalam dan luar negara.
YaPEIM menawarkan perkhidmatan Ar Rahnu di 203 cawangannya dan sembilan kaunter bergerak di seluruh negara dengan jumlah pinjaman dikeluarkan sebanyak RM9.7 bilion dari 2000 hingga 2019.
Mohd Daud berkata, YaPEIM juga akan menawarkan sistem Ar Rahnu berkonsepkan Qardhul Hasan untuk membantu pembangunan usahawan dalam pelbagai bidang bermula tahun ini.
Dalam perkembangan lain, Mohd Daud turut mengumumkan YaPEIM mencatatkan peningkatan aset keseluruhan kepada RM1.24 bilion bagi prestasi tahun lalu berbanding RM1.2 bilion pada 2018.
Yayasan itu turut merekodkan peningkatan nilai aset bersih kepada RM291.98 juta pada 2019 berbanding RM243.16 juta pada 2018.
Dalam pada itu, beliau berkata, Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) yang dilancarkan 6 Nov lalu untuk mendapatkan peruntukan dana bagi membantu golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) telah menerima lebih 30,000 permohonan setakat jam 3 petang tadi.
“Sehubungan itu, kita melanjutkan permohonan Inspirasiku ini kepada 31 Januari supaya lebih ramai penerima mendapat manfaat dan kita juga mengalu-alukan semua pihak untuk tampil menyalurkan sumbangan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!