Anna Jobling bawa makanan kucing ke mana-mana

Anna Jobling
Anna Jobling
A
A
A

PELAKON berdarah kacukan, Anna Jobling, mengakui dirinya seorang pencinta haiwan dan sentiasa membawa makanan kucing di dalam beg tangan serta keretanya.

Ujar Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, sekiranya berjumpa kucing atau anjing terbiar, dia dan ibunya pasti akan meluangkan masa untuk memberi makan.

“Saya tidak hanya beri kucing, tetapi juga anjing makan. Saya fikir, kalau saya tak bagi, siapa lagi yang akan buat.

“Jadi saya akan bawa makan kucing ke mana-mana sahaja. Sentiasa ada dalam beg atau kereta,” katanya.

Tambah selebriti berusia 23 tahun itu, dia juga sangat sensitif dengan isu penderaan haiwan, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di luar negara.

Jelas bintang Melur Untuk Firdaus tersebut, sekiranya terlihat mengenai penderaan haiwan, Anna akan membuat hantaran atau pesanan khidmat masyarakat bagi mengingatkan pentingnya untuk menyayangi binatang.

“Isu penderaan haiwan ini selalunya tidak dipandang serius. Memang tidak sama seperti penderaan terhadap kanak-kanak, tetapi haiwan juga ada perasaan.

“Atas sebab itu saya mudah simpati kalau terlihat video haiwan didera sehingga cedera. Walaupun tak dapat membantu, saya percaya, ALLAH SWT akan membalas setiap perbuatan yang tidak baik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Anna berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media memperkenalkannya sebagai jurucakap DD Cat.

Berkongsi penglibatannya, Anna berkata, dia berbesar hati kerana terlibat secara langsung dalam rekaan, pemilihan warna dan fabrik untuk koleksi baju raya kucing 2024.

“Koleksi baju raya kucing DD Cat pada tahun ini menampilkan lapan pilihan warna yang segar dan menarik.

“Apa yang menarik, pencinta kucing boleh memilih sama ada Baiu Melayu, Baju Kurung atau Kebaya untuk kucing kesayangan mereka," ujarnya.

Bercakap tentang kelebihan koleksi pada tahun ini, Anna berkata, semua rekaan menampilkan songket berkualiti tinggi, manakala koleksi baju kurung dan kebaya kucing DD Cat mengenengahkan fabrik songket dan como crepe polos dengan perincian renda French Lace yang elegan.

Malah ia turut menjadi pilihan anak Sultan Brunei, Pengiran Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah dalam satu pertemuan baru-baru ini.

“Tahun lalu, sebanyak 15,000 helai koleksi baju raya kucing DD Cat terdiri daripada Baju Melayu, Kurta, Kurung dan Kebaya terjual bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Singapura, Brunei dan Indonesia,” katanya.

Koleksi baju raya kucing DD Cat terkini bole didapati melalui pembelian dalam talian seperti di Shopee dan Tik Tok @ddcathq bermula pada 4 Mac 2024.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!