Polis Kelantan buka 7 kertas siasatan berkait salah laku pegawai, anggota
MACHANG - Polis Kelantan membuka tujuh kertas siasatan berkaitan kesalahan tatatertib melibatkan pegawai dan anggota polis pada bulan Februari.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kertas siasatan itu, antaranya terdiri daripada kes khalwat, banduan lolos, kesilapan kerani bertugas dan rogol.
Bercakap dalam sidang media majlis serah terima tugas ketua polis Daerah Machang di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang (IPD) di sini, beliau berkata, polis Kelantan akan memastikan kesalahan sama itu berulang.
"Saya sendiri akan turun ke lapangan bagi melihat pegawai dan anggota polis yang bertugas. Selain itu, saya juga akan meneliti daripada segi tugasan dan kaedah serbuan yang dilakukan, sama ada menepati kehendak pucuk pimpinan atau sebaliknya,” katanya.
Muhamad Zaki berkata, mana-mana pegawai atau anggota polis yang terlibat, akan dikenakan tindakan tatatertib termasuk ditahan kerja.
"Kita kena menilai jenis kesalahan apa yang dilakukan mereka itu sebelum tindakan diambil terus. Saya percaya setiap perkara yang berlaku akan menimbulkan tohmahan masyarakat ke atas badan beruniform,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai tindakan polis Kelantan yang sedang mengesan seorang suspek lelaki bergelar ‘Datuk’ yang terlibat salam kes ugutan jenayah dan pukul, Muhamad Zaki berharap individu berkenaan dapat menghadirkan diri ke mana-mana balai polis berdekatan untuk memberikan kerjasama.
"Sekiranya individu berkenaan gagal memberikan kerjasama, siasatan sukar dijalankan. Kita memang ada terima laporan polis mengenai kes itu, tetapi setiap maklumat daripada pengadu polis tidak boleh terima bulat-bulat (secara terus),” katanya.
Sebelum ini, polis Kelantan mengeluarkan senarai empat lelaki yang dikehendaki bersabit beberapa kesalahan jenayah yang dilakukan di daerah Kota Bharu.
Empat lelaki itu dikenali sebagai Mohd Fared Abdul Ghani, 56, Mohd Izani Ibrahim, 42, Mohd Haziman Hikamarhakimi, 37, dan Wan Sharilazry Wan Mohd Sukry, 35.
Terdahulu, Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintenden Mahadi Nazam menyerahkan jawatan itu kepada Superintenden Ahmad Shafiki Hussin yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Machang yang baharu berkuat kuasa hari ini. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!