Sukan Paralimpik Paris 2024: MPM sasar empat emas

Megat. Foto Agensi
Megat. Foto Agensi
A
A
A

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) menaruh keyakinan penuh kepada atlet para untuk mengharumkan nama negara menerusi sasaran dua digit pingat pada Sukan Paralimpik Paris 2024 Ogos depan.

Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin sedia menyahut cabaran untuk meraih sekurang-kurang 10 pingat termasuk empat emas, biarpun ia agak sukar.

Beliau melihat cabaran tersebut mampu menjadi pemangkin dan menyuntik semangat para atlet untuk bekerja lebih keras bagi mencapai sasaran berkenaan.

"Sasaran keseluruhan double digit sukar, tetapi kita ambil itu sebagai cabaran. Kita mahu mereka ambil cabaran ini. Perlu 'push', tak mahu mereka sejuk. Itu sasaran awal MPM. Perlu letak tanda aras ke mana arah kita.

"Kalau tak letak apa-apa sasaran, maknanya kita boleh leka dan selesa. Saya tak nak seperti itu, sebab itu sasaran penting kerana itu garis panduan untuk atlet kerja keras," katanya di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia, Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada Selasa.

Beliau ditemui media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman MPM dan sembilan rakan strategik TambahEmas Sukan Paralimpik Paris 2024.

Megat menjelaskan, sasaran empat emas itu juga mampu menjadi sejarah baharu untuk menjadikan jumlah keseluruhan kepada 10 emas bagi tiga edisi Sukan Paralimpik.

Kontinjen para negara menerusi edisi di Rio pada 2016 dan Tokyo (2020) masing-masing meraih tiga emas.

Artikel Berkaitan:

"Projek TambahEmas ini pastinya untuk kita hadiahkan kepada PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Dapatkan empat emas (Sukan Paralimpik Paris) bagi genapkan 10 emas untuk tiga edisi Sukan Paralimpik.

"Sasaran penting kerana itu garis panduan untuk atlet kerja keras. Kalau tiada tanda aras atau sasaran, semua akan pergi macam pergi holiday (bercuti), habiskan duit rakyat," katanya.

Menurut Megat, seramai sembilan atlet daripada empat jenis sukan sudah mengesahkan slot ke Sukan Paralimpik dan sasaran kontinjen para pada edisi kali ini ialah melebihi 20 atlet.

"Sembilan atlet itu terdiri daripada masing-masing dua olahraga, renang dan memanah, manakala tiga atlet berbasikal. Ketika ini mereka masih berjuang di peringkat kelayakan dan jumlah keseluruhan atlet dijangka diperoleh pada Mei depan," katanya.

Mengulas mengenai sasaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) yang tidak menetapkan warna pingat, Megat menghormati kaedah itu, namun MPM kekal dengan pendirian sedia ada fokus kepada emas.

"Beza dengan sasaran KBS, MPM ada sasaran warna pingat. Itu dasar ditetapkan KBS, tapi kami kekal dengan pendirian di peringkat antarabangsa fokus kepada jumlah emas. Dasar itu bagus, tapi kita tengok emas, perak dan gangsa," katanya.

Info:

Pencapaian Kontinjen Para Pada Sukan Paralimpik

* Seoul 1988 - 1 gangsa

P Mariapan - gangsa (angkat berat-lelaki 57kg)

* Barcelona 1992 - 1 perak, 2 gangsa

Cheok Kon Fatt - perak (angkat berat-lelaki 52kg)

P Mariapan - gangsa (angkat berat-lelaki 60kg)

Mohamad Khasseri Othman - gangsa (olahraga-lompat tinggi lelaki B)

* Beijing 2008 - 1 gangsa

Siow Lee Chan - gangsa (powerlifting-wanita 56kg)

* London 2012 - 1 perak, 1 gangsa

Hasihin Sanawi - perak (memanah-individu lelaki Recurve W1 / W2)

Muhammad Ziyad Zolkefli - gangsa (olahraga-lontar peluru lelaki F20)

* Rio de Janeiro 2016 - 3 emas, 1 gangsa

Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi - emas (olahraga-100m lelaki T36)

Muhammad Ziyad Zolkefli - emas (olahraga-lontar peluru lelaki F20)

Abdul Latif Romly - emas (olahraga-Lompat jauh lelaki T20)

Siti Noor Radiah Ismail - gangsa (olahraga-Lompat jauh wanita T20)

* Tokyo 2020 - 3 emas, 2 perak

Cheah Liek Hou - emas (badminton-perseorangan lelaki SU5)

Abdul Latif Romly - emas (olahraga-lompat jauh lelaki T20)

Bonnie Bunyau Gustin - emas (powerlifting-lelaki 72kg)

Jong Yee Khie - perak (powerlifting-lelaki 107kg)

Chew Wei Lun - perak (boccia-individu campuran BC1)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!