Dalang kes pecah masuk pasar raya dicekup dalam tempoh 48 jam

Polis daerah ini berjaya menyelesaikan kes pecah masuk sebuah pasar raya dalam tempoh 48 jam dengan tertangkapnya lima dalang kejadian tersebut pada Isnin.Gambar hiasan. Gambar kecil: Sammy Newton
Polis daerah ini berjaya menyelesaikan kes pecah masuk sebuah pasar raya dalam tempoh 48 jam dengan tertangkapnya lima dalang kejadian tersebut pada Isnin.Gambar hiasan. Gambar kecil: Sammy Newton
A
A
A

PENAMPANG – Polis daerah ini berjaya menyelesaikan kes pecah masuk sebuah pasar raya dalam tempoh 48 jam dengan tertangkapnya lima dalang kejadian tersebut pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, kejadian pecah masuk premis tersebut berlaku di Putatan dan satu laporan polis dibuat pada Ahad.

"Pasar raya tersebut mengalami kerugian sebanyak RM92,000.

"Bertindak atas maklumat, keesokan harinya sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang membuat operasi di empat lokasi berasingan di sekitar Kota Kinabalu dan Putatan bagi mengesan suspek," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sammy berkata, susulan daripada operasi itu membawa kepada tangkapan lima lelaki berusia 20 hingga 45 tahun.

"Turut dirampas pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah itu. Hasil semakan mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Selasa dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan denda atau sebat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!