Malaysia tawar persekitaran selamat untuk rakyat Palestin lanjut pelajaran

Raja Zarith Sofiah berkenan hadir pada sesi pertemuan diraja dengan pelajar Palestin dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), pada Selasa. Foto Bernama
Raja Zarith Sofiah berkenan hadir pada sesi pertemuan diraja dengan pelajar Palestin dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bertitah rakyat Palestin di Malaysia boleh berada dalam persekitaran selamat, dengan peluang masa depan yang lebih baik melalui pendidikan.

Dalam sesi pertemuan diraja dengan pelajar Palestin dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Seri Paduka Baginda bertitah Malaysia dapat menawarkan peluang kepada golongan muda untuk mendapatkan pendidikan dan berada di tempat selamat.

"Walaupun kami tidak dapat banyak membantu kerana bukan pemimpin dunia, kami tidak menggubal dasar - sebagai rakyat Malaysia yang jauh dari Palestin - kami dapat menawarkan pendidikan dan tempat selamat kepada golongan muda seperti anda untuk anda sendiri, keluarga dan anak-anak, sekurang-kurangnya kami tahu bahawa anda akan selamat di sini, insya-Allah.

"Seperti yang kita tahu dalam Islam, ilmu adalah penting dan bagi anda semua yang ingin membina semula negara, anda perlukan ilmu. Mereka yang ingin menjadi jurutera, doktor, apa sahaja profesion yang anda mungkin impikan, kami tawarkan tempat selamat di sini di Malaysia, di UTM dan UTHM dan saya pasti universiti lain di seluruh negara juga," titah Seri Paduka Baginda.

Raja Zarith Sofia yang juga Canselor UTM bertitah demikian dalam hantaran yang dimuat naik melalui laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Mengiringi Raja Permaisuri Agong ke majlis itu ialah Che' Puan Mahkota Khaleeda Bustamam yang juga Pro-Canselor UTM dan Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Sesi itu dihadiri 20 pelajar Palestin dari dua universiti, masing-masing mempunyai kisah duka dan pilu yang ditanggung akibat konflik berpuluh tahun di negara asal mereka.

Kedua-dua wakil komuniti Palestin di UTM (Dr Mohamad Darwish) dan UTHM (Mohammed A. A. Mansour) juga berkongsi pengalaman dan kisah mereka mengenai konflik di negara itu, serta menyatakan penghargaan atas rasa simpati dan solidariti Seri Paduka Baginda dengan Palestin. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!