Islam ajar kita taat kepada ulil amri

Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu merupakan payung untuk negeri dan negara serta bebas daripada sebarang pengaruh politik. Gambar fail.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu merupakan payung untuk negeri dan negara serta bebas daripada sebarang pengaruh politik. Gambar fail.
A
A
A

SECARA dasarnya, sebagai sebuah negara demokrasi raja berperlembagaan, Malaysia dipimpin oleh dua individu iaitu ketua negara dan ketua kerajaan.

Ketua negara merupakan Yang di-Pertuan Agong yang menaiki takhta secara bergilir-gilir dalam kalangan raja-raja Melayu untuk tempoh lima tahun.

Ketua kerajaan pula ialah Perdana Menteri yang memiliki kuasa eksekutif dan dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya.

Perdana Menteri diangkat melalui kuasa politik dan pengundi. Bukan sesuatu yang asing sekiranya individu yang dipilih sebagai Perdana Menteri tidak disukai sesetengah pihak kerana perbezaan ideologi politik.

Namun, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu merupakan payung untuk negeri dan negara serta bebas daripada sebarang pengaruh politik.

Sejak pelantikan Yang di-Pertuan Agong pertama lagi, Seri Paduka menjadi simbolik penyatuan rakyat, penjaga keamanan sebagai ketua Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga benteng agama sebagai ketua agama Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Justeru, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu wajib ditaati sebagai pemimpin yang bebas daripada elemen politik dan ideologi kepartian.

Sebagaimana firman ALLAH dalam surah an-Nisa ayat 59 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada ALLAH SWT dan taatlah kamu kepada Rasulullah SAW serta kepada ulil amri (orang yang berkuasa dalam kalangan kamu)”.

Artikel Berkaitan:

Daripada dalil al-Quran ini jelas bahawa terdapat suruhan ALLAH agar mentaati pemimpin.

Tak kira apa jua fahaman politik kita, jangan sesekali mengheret institusi istana dalam perang politik antara parti.

Kalau nak tegur atau memberi nasihat, bukan tidak boleh tapi biarlah mengikut adab serta syariat Islam.

Rasulullah SAW pernah menasihati cara menegur pemimpin melalui hadis yang bermaksud, “Sesiapa yang ingin menasihati pihak yang berkuasa mengenai sesuatu perkara, maka janganlah dia menyampaikan secara terang-terangan, tetapi hendaklah memegang tangannya dan menyampaikan nasihatnya secara bersendirian.

“Sekiranya nasihat itu diterima, itulah yang baik, tetapi sekiranya tidak diterima, maka dia (pemberi nasihat) dikira telah melaksanakan tanggungjawab.” (Riwayat Ahmad dan al-Hakim).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!