Lampu HID: Konon nak nampak 'garang' tapi sebenarnya orang menyampah
KALI ini Merak Jalanan nak melepaskan geram dengan segelintir pemilik kereta yang memasang lampu high intensity discharged (HID).
Mesti ada sebab kenapa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melarang penggunaan lampu HID ini.
Pasti ramai bersetuju, penggunaan lampu HID mengganggu pemanduan pengguna jalan raya lain kerana pancaran cahaya yang terlampau terang menyebabkan mata silau.
Apabila pandangan pemandu lain terganggu, berisiko berlaku kemalangan.
Tapi bagi sesetengah pemandu, mereka tidak fikirkan keselamatan orang lain. Bagi mereka, menggunakan lampu HID lebih menerangkan lagi pencahayaan kereta dan lebih yakin untuk memandu di waktu malam.
Tapi sebenarnya, ramai yang memasang lampu HID ini sebab nak nampak bergaya, lain daripada lain, kononnya kereta lebih ‘garang’ di atas jalan raya.
Merak Jalanan sendiri mengalami situasi diekori sebuah kereta yang menggunakan lampu HID ini baru-baru ini.
Sakit mata dan pandangan ketika memandu pun rasa tak selesa. Kalau kereta yang menggunakan lampu HID ini datang dari arah depan, lagilah seksa apabila cahaya terang menusuk sampai ke dalam anak mata.
Merak Jalanan nak nasihatkan kepada pemilik kenderaan yang menggunakan lampu HID ini, fikirlah keselamatan orang lain.
Jangan ingat orang akan kagum melihat kereta anda, sedangkan realitinya ramai yang menyampah.
Merak Jalanan juga berharap agar pihak JPJ supaya memantau tegas penggunaan lampu HID ini sebelum berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
Elok juga kalau kali ini pemantauan dan tindakan dibuat bermula dari kedai-kedai yang menjual aksesori kereta yang hanya memikirkan keuntungan apabila menjual barangan yang menyalahi peraturan.
Kalau lampu HID ini tidak ada dijual, sudah pasti kita tidak akan nampak kenderaan di atas jalan raya yang menggunakannya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!