Police Tero cabaran baharu Cheng Hoe
BEKAS pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe menyifatkan peluang mengendalikan Police Tero FC yang sedang bergelut dalam Liga 1 Thailand satu cabaran baharu dalam karier kejurulatihannya.
Biarpun mengakui tanggungjawab mencabar, namun bekas pengendali Kedah itu optimis pengalaman bersama pasukan kebangsaan dan kelab Liga Malaysia mampu menghasilkan keputusan positif.
Malah katanya, Police Tero juga pentas terbaik bagi menguji kemampuan melatih pasukan saingan liga antara yang terkuat di Asia Tenggara.
"Saya mahu mencari cabaran baharu itu faktor Police Tero menjadi pilihan, selain saingan Liga Thailand merupakan antara liga terkuat di Asia Tenggara sama seperti pasukan kebangsaan Thailand, itu yang saya mahu belajar dan nikmati pengalaman.
“Saya perlukan sedikit masa untuk membimbing pasukan kembali raih kemenangan. Saya yakin akan dapat mengemudi Police Tero kembali semula ke prestasi terbaik seperti sebelum ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Police Tero yang berada di kedudukan ke-14 Liga Satu Thailand bangkit mengikat Nakhon Pathom United FC, 1-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Boonyachinda pada Sabtu.
Berkongsi persiapan pasukannya sebelum perlawanan pertama mengendalikan skuad luar Malaysia, Cheng Hoe berkata, "Saya datang ke sini untuk melatih pasukan dua hari sebelum perlawanan.
"Saya cuba menaikkan moral pemain dan mereka berjaya beraksi dengan baik.
“Mereka tunjukkan lebih banyak usaha dan keazaman, sesuatu yang bagus apabila kita mendapat satu mata dalam perlawanan ini.
"Ini mata pertama saya bekerja dalam liga Thailand yang kuat," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!