TNB, THT bawa bekalan selesa
PASUKAN pilihan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melangkah ke separuh akhir kedua Piala TNB 2024 selepas menjinakkan UiTM HA-KPT 3-1 pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Juara baharu Liga Hoki Malaysia itu kendalian Nor Saiful Zaini terlebih dahulu memecah kebuntuan gol seawal suku pertama menerusi dua jaringan padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal masing-masing pada minit ke-10 dan ke-13.
UiTM berusaha bangkit menyamakan kedudukan namun setiap asakan The Lions Roars tersebut berjaya dipatahkan jentera pertahanan TNB sebelum Zul Pidaus Mizun menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-49.
Bagaimanapun TNB yang tidak terkesan gol tersebut kembali memperkemaskan permainan kembali di depan menerusi bintang import Korea Selatan, Jang Jong-hyun pada minit ke-53.
Sementara itu, Kelab Hoki Terengganu (THT) turut semakin hampir mengulangi kejayaan ke final apabila menewaskan Maybank 3-0.
Tiga jaringan THT diperoleh melalui pukulan sudut penalti kapten pasukan Mohd Fitri Saari minit ke-19 dan jaringan padang masing-masing menerusi Muhammad Noor Firdaus Rosdi dan Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-47 dan ke-48.
Saingan separuh akhir pertama Piala Vivian May Soars pula menyaksikan Malaysian University (MU) selangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan Negeri Sembilan 4-1 dalam perlawanan di gelanggang sama.
Satu lagi perlawanan menyaksikan Liaoning Women Hockey Team pula mencatat kemenangan selesa apabila membelasah PDRM Blue Warriors, 3-0.
Piala TNB
Separuh Akhir Pertama
Tenaga National Berhad 3-1 UITM HA-KPT
THT 3-0 Maybank
Piala Vivian May Soars
Separuh Akhir Pertama
Malaysian University 4-1 Negeri Sembilan
Liaoning Women HT 3-0 PDRM Blue Warriors
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!