Warga emas antara tiga maut dalam nahas empat kenderaan
JOHOR BAHRU - Tiga maut termasuk seorang wanita warga emas dalam kemalangan melibatkan sebuah treler dan tiga kenderaan di Lebuhraya Pasir Gudang berhampiran Taman Permas Jaya di sini, pada malam Selasa.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, M K Haridas berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kemalangan jalan raya itu pada jam 11.41 malam.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau dan Johor Jaya diatur gerak ke lokasi kejadian bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Menurutnya, kemalangan itu melibatkan sebuah lori treler dan tiga buah kenderaan iaitu Perodua Myvi, Perodua Alza dan Honda Civic.
"Pemandu Perodua Myvi yang berusia 40-an dan pemandu Honda Civic serta penumpang wanita warga emas masing-masing yang berusia 45 dan 73 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
"Terdapat tiga mangsa yang cedera dan tersepit iaitu seorang pemandu Myvi berusia 40-an serta pemandu dan penumpang bagi kereta Honda Civic, manakala pemandu Alza berusia 46 tahun mengalami kecederaan parah.
"Pemandu treler berusia 28 tahun pula hanya mengalami kecederaan di bahagian pinggang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Jelasnya, kesemua mangsa yang cedera dan meninggal dunia dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI).
Tambahnya lagi, anggota bomba turut bertindak melakukan kerja-kerja pembersihan kawasan kemalangan sebelum operasi ditamatkan pada jam 4 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!