[VIDEO] Peruntukan tambahan RM100 juta diluluskan tangani isu air Sabah
KUALA LUMPUR - Kementerian Ekonomi telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta untuk menyelesaikan isu bekalan air di Sabah, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kelulusan itu diperoleh selepas Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memohon penyelarasan semula kos, susulan kelulusan Jemaah Menteri pada 27 Sept 2023 yang memperuntukkan RM300 juta secara pinjaman untuk menyelesaikan isu tersebut.
"Berdasarkan keputusan ini, empat projek baharu telah diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat (RP4), Rancangan Malaysia Ke-12 berjumlah RM200 juta bagi penyelesaian jangka pendek isu bekalan air di negeri Sabah.
"Kerajaan Sabah juga telah diluluskan peruntukan sebanyak RM163.55 juta di bawah RP4 bagi projek-projek sambungan. Bagi penyelesaian jangka panjang, Kerajaan Sabah boleh memohon di bawah Rolling Plan akan datang berdasarkan perancangan projek dan keperluan bagi menyelesaikan isu bekalan air di negeri Sabah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai status bantuan Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sabah dalam penyelesaian jangka pendek dan panjang masalah air di Sabah.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kementerian akan memastikan projek yang diluluskan dipantau secara berkala dengan mengadakan lawatan kerja dan mesyuarat di tapak oleh agensi yang bertanggungjawab.
Menjawab soalan tambahan Bung Moktar mengenai usaha kerajaan untuk membantu penyelesaian isu tersebut secara menyeluruh, Fadillah berkata, tumpuan peruntukan kerajaan ketika ini lebih menjurus kepada kerja-kerja pembaikan dan penggantian paip air.
"Sebab Sabah ini, satu daripada cabarannya adalah air tidak terhasil (NRW) yang agak tinggi, lebih 50 peratus, sebab itu keutamaan kita adalah menggantikan paip yang mana kita akan berikan secara geran dan laksana secara bersama dengan Sabah.
"Ini diharapkan dapat mengurangkan NRW tetapi pada masa sama, Sabah sendiri kena ambil tindakan untuk mengurangkan NRW khususnya air yang dicuri dari sumber air bekalan air Sabah sendiri,” katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!