Didakwa edar 83kg dadah guna Camry, Vios
MELAKA - Seorang Lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu atas tuduhan mengedar dadah seberat 83.4 kilogram (kg) dadah pada Februari lalu.
Phua Cheong Ong, 49, bagaimanapun hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan selepas tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nabila Nizam.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 20,793 gram yang disenaraikan di Bahagian III Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 di dalam sebuah kereta jenis Toyota Camry.
Manakala pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa mengedar dadah masing-masing jenis methamphetamine seberat 31,161 gram dan 3,4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA) 31,449 gram di dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh kira-kira jam 3.20 petang di tepi jalan KPKS 5, Kompleks Perniagaan Al-Azim, Kota Syahbandar, di sini pada 21 Februari lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, sekiranya sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah, jika tidak dihukum mati, disebat dengan sebatan tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri, manakala tertuduh diwakili peguam, Dzvuriyah Velayit Hussein.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 25 April depan sebagai sebutan semula kes.
Sinar Harian pada 23 Februari lalu melaporkan polis berjaya menggagalkan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang terbesar di Melaka pada awal tahun ini membabitkan rampasan dadah bernilai RM4.02juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya menahan lima lelaki tempatan dan seorang penduduk tetap yang berusia 40 hingga 74 tahun.
Menurutnya, berdasarkan maklumat dan siasatan dijalankan, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 48 tahun ketika sedang memunggah dadah dari sebuah kereta Toyota Vios ke dalam sebuah kereta Toyota Camry di kawasan Kota Syahbandar, Melaka.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!