TH ambil langkah proaktif bendung penipuan scammer

TH mengambil langkah proaktif dengan membekukan akaun pendeposit yang menjadi mangsa penipuan scammer.
TH mengambil langkah proaktif dengan membekukan akaun pendeposit yang menjadi mangsa penipuan scammer.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) mengambil langkah proaktif dengan membekukan akaun pendeposit yang menjadi mangsa penipuan scammer bagi mengelakkan berlaku kerugian yang lebih besar.

TH berkata, tindakan pembekuan akaun dilakukan dalam kes melibatkan seorang pendeposit apabila mendapati terdapat transaksi yang mencurigakan.

"Merujuk kepada kes pengeluaran tidak sah yang dilaporkan di media, TH mendapati bahawa pendeposit terlibat merupakan mangsa penipuan scammer di mana sejumlah RM12,000 telah dipindahkan melalui lima transaksi dalam masa empat hari.

"Namun begitu, TH telah membekukan akaun (mangsa) tiga hari sebelum aduan dibuat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan seorang bilal masjid berputih mata apabila wang berjumlah RM12,000 dalam akaun TH miliknya didakwa dipindah tanpa kebenaran pada Februari lalu.

Timbalan Ketua Polis Hulu Selangor, Deputi Superintenden Mohd Asri Mohd Venus berkata, laporan dibuat mangsa pada 26 Februari lalu melibatkan kes wang simpanan TH yang didakwa berkurangan.

TH menegaskan, pihaknya juga sedang melakukan siasatan ke atas perkara berkenaan dan akan sentiasa bekerjasama dengan polis dalam sebarang siasatan ke atas kes penipuan siber.

Berikutan itu, TH sekali lagi mengingatkan orang ramai untuk tidak membuka mana-mana mesej dan hantaran yang meragukan atau berkongsi data peribadi dengan mana-mana pihak.

Artikel Berkaitan:

"TH ingin menegaskan bahawa platform atas talian THiJARI telah dibangunkan dengan ciri keselamatan yang menepati amalan terbaik di pasaran.

"Aplikasi THiJARI dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan antaranya nama pengguna, kata laluan yang dienkripsi (disulitkan) serta gambar keselamatan untuk memastikan aplikasi tersebut disambung ke laman web rasmi THiJARI," ujarnya.

Kata TH, untuk sebarang pertanyaan lanjut, pendeposit boleh berhubung dengan Pusat Panggilan TH (THCC) menerusi talian 03-6207 1919.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!