[VIDEO] 'Kerajaan Madani umpama burung tiung' - Abdul Hadi
KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak jelas dalam memandu negara kerana tidak memahami secara menyeluruh konsep Madani.
Mengumpamakan Kerajaan Madani sekarang seperti burung tiung, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Anwar tidak memahami konsep Madani sepenuhnya kerana tidak bersikap adil kepada negeri-negeri pembangkang.
"Apa makna tidak tahu (Kerajaan Madani) ini burung tiung (yang tahu bercakap tetapi tidak tahu apa yang dicakap), burung kakak tua, walaupun kakak...tua... tetapi tidak faham apa yang dia cakap, kita tidak mahu orang nombor satu cakap Madani...Apa Madani tidak tahu.
"Ini kita kena sedar termasuklah adil itu kepada ahli Parlimen negeri-negeri semuanya, tak kira siapa sokong kerajaan atau pembangkang, mesti beri peruntukaan. Ini makna adil kerana bila kita kutip cukai, kutip semua," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada Rabu.
Dalam pada itu, Abdul Hadi mendakwa kerajaan sekarang menyatakan banyak pelabur akan datang ke Malaysia tapi mereka masih tidak datang.
“Negara kita masih diiktiraf sebagai negara yang sedang membangun, tak bangun-bangun. Sepatutnya jadi negara maju, tapi...ini bukan kerana apa.
“(Kerana) Tuhan beri kita ini terlalu banyak hasil, nadir bumilah, hasil pertanian, hasil galian, kemajuan tenaga manusia tetapi kerana tidak diurus dengan baik, tak memberi apa-apa makna dan faedah.
"Inilah masalah yang kita hadapi, yang kita pikul tanggungjawab ini,” ujarnya lagi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!