Roboh setinggan: Kebajikan penduduk Jalan Atas Paloh dijaga

Hilmi menjawab soalan Dr Hafidzah pada persidangan DUN Kelantan pada Rabu.
Hilmi menjawab soalan Dr Hafidzah pada persidangan DUN Kelantan pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kebajikan seramai 53 penduduk di Jalan Atas Paloh di sini sudah terjaga dengan baik oleh kerajaan negeri sebelum rumah mereka dirobohkan untuk tujuan pembangunan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, antara usaha yang sudah dilakukan bagi membantu mengurangkan beban penduduk ialah tidak mengambil sewa dan menjadikannya sebahagian daripada kebajikan.

Menurut beliau, penduduk juga tidak dikenakan sebarang cukai tanah dan mereka dibenarkan tinggal selama mana tanah tersebut belum dihasratkan untuk pembinaan pembangunan.

"Kini sudah sampai masanya selepas kira-kira tiga generasi mendiami kawasan berkenaan kerajaan ambil alih untuk mendirikan pembangunan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Hafidzah Mustakim (PKR-Kota Lama) mengenai tindakan kerajaan negeri bagi menjaga kebajikan penduduk Jalan Atas Paloh selepas rumah mereka dirobohkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan 2024 pada Rabu.

Hilmi menjelaskan, cadangan pembangunan tanah milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Kelantan (PKINK) di Kampung Atas Paloh itu ialah seluas kira-kira 1.8 hektar.

Katanya, selepas rundingan sebanyak 36 keluarga sudah berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Klochor yang nilainya antara RM180,000 hingga RM200,000.

Jelas beliau, 16 keluarga lagi turut menerima tawaran rumah oleh kerajaan di Kampung Badang, Kota Bharu pada harga sama.

Artikel Berkaitan:

"Selebihnya, hasil rundingan, kerajaan menawarkan saguhati perpindahan kerana mengikut undang-undang semua penduduk setinggan tidak layak menerima pampasan," katanya.

Beliau memberitahu, sebelum itu kerajaan negeri turut membayar sewa rumah sebanyak RM500 sebulan selama dua tahun sebelum PPR disiapkan kepada beberapa penduduk yang sudah berpindah.

Hilmi turut memaklumkan ada penduduk yang diberikan rumah duafa' oleh kerajaan negeri.

"Namun ada satu keluarga memilih kaedah perundangan dan menolak tawaran kerajaan negeri tetapi kita menerimanya. Bagaimanapun, mahkamah memutuskan mereka tidak ada kelayakan untuk menerima pampasan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!