Negeri Sembilan berjaya capai sasaran pelaburan 2023

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan berjaya mencapai sasaran pelaburan yang ditetapkan melalui 189 projek yang diluluskan di negeri ini dengan jumlah pelaburan sebanyak RM10.1 billion.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia berdasarkan rekod kelulusan Malaysian Investment Development Authority (MIDA) bagi tahun 2023.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM4.1 billion adalah pelaburan domestik manakala RM6.0 billion adalah daripada pelaburan luar negara.

"Pelaburan tahun 2023 telah menunjukkan lonjakan sebanyak 13 peratus berbanding tahun 2022 iaitu sebanyak RM8.9 billion," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, implikasi pelaburan tersebut akan menawarkan sebanyak 3,250 jumlah peluang pekerjaan di negeri ini.

"Sebagai perincian, sektor yang menjadi penyumbang terbesar adalah sektor pembuatan berjumlah RM7.6 billion dan diikuti sektor perkhidmatan sebanyak RM2.5 billion.

"Ini adalah pencapaian pelaburan terbaik dan tertinggi yang dicatatkan dalam sejarah di Negeri Sembilan. Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha merancakkan pelaburan di negeri ini.

"Kita juga akan terus menyediakan fasiliti dan kemudahan asas bagi memastikan Negeri Sembilan akan kekal sebagai destinasi pelabur-pelabur dari dalam dan luar negara pada masa akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!