SPRM tahan pengarah syarikat buat tuntutan palsu hampir RM1 juta
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah syarikat yang disyaki terlibat dengan tuntutan palsu kerja penyelenggaraan stor minyak, pemasangan paip dan kamera litar tertutup (CCTV) berjumlah hampir RM1 juta.
Lelaki berusia 50-an itu ditahan pada kira-kira 7.30 malam pada Selasa ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM dan direman selama empat hari hingga Sabtu ini selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan agensi antirasuah itu.
Menurut sumber, suspek disyaki terlibat dalam tuntutan palsu pada 2021 membabitkan kerja penyelenggaraan stor minyak dan bilik penginapan di Kota Belud, Sabah berjumlah lebih RM490,000.
"Individu itu juga dipercayai telah membuat tuntutan palsu kerja penyelenggaraan stor minyak, pemasangan paip dan CCTV berjumlah lebih RM470,000 di Lahad Datu, Sabah sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan," katanya.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!