ICC keluar waran tangkap ke atas dua pegawai tentera Rusia
THE HAGUE - Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Selasa mengeluarkan waran tangkap terhadap dua pegawai kanan tentera Rusia berhubung Perang Ukraine.
Langkah itu dibuat kira-kira setahun selepas tribunal tersebut menyasarkan Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Mac 2023 berhubung tuduhan jenayah perang yang difailkan ke atas pemimpin tersebut melibatkan tindakan mendeportasi kanak-kanak Ukraine sejak konflik tercetus pada Februari 2022.
Pada kali ini, waran tangkap dikeluarkan ke atas Sergei Ivanovich Kobylash dan Viktor Nikolayevich Sokolov yang didakwa melakukan jenayah antara Oktober 2022 dan Mac 2023.
“Kedua-dua pegawai tentera Rusia berpangkat tinggi itu dipercayai bertanggungjawab mengarahkan serangan terhadap orang awam dan terlibat jenayah kemanusiaan.
“Mereka juga terbabit insiden serangan misil ke atas infrastruktur kuasa di Kiev bermula 10 Oktober 2022 hingga 9 Mac 2023.
“Kedua-duanya dipercayai melakukan serangan secara langsung atau mengarahkan tindakan itu atau gagal melaksanakan kawalan sewajarnya ke atas pasukan di bawah arahan mereka,” ujar dokumen mahkamah berpusat di The Hague tersebut.
Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy yang semakin hilang arah untuk menentukan hala tuju serangan balas ke atas Moscow kerana kekurangan bantuan Barat menyambut baik keputusan ICC.
"Saya menghantar mesej kepada komander musuh bahawa keadilan akan ditegakkan atas perbuatan mereka,” tegasnya.
Difahamkan, ICC tidak mempunyai pasukan polis sendiri untuk melaksanakan perintah waran tangkap itu dan ia terpaksa bergantung kepada 123 negara anggota untuk bertindak terhadap individu berkenaan jika ia tiba di wilayah mereka.
Waran tangkap ke atas Putin dikatakan telah mengehadkan pergerakan pemimpin itu malah beliau juga tidak menghadiri Sidang Kemuncak blok Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) di Pretoria pada tahun lalu. - AFP
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!