[VIDEO] Premis jual seluar sekolah harga tak munasabah diberi notis

A
A
A

IPOH - Sebuah premis di Kuala Kangsar diberi notis oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak kerana menjual seluar sekolah pada harga tidak munasabah.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, premis tersebut dikesan melakukan kesalahan itu hasil pemeriksaan yang dijalankan sempena Ops Catut Kembali Ke Sekolah yang diadakan pada 19 hingga 23 Februari lalu.

Menurutnya, dalam operasi berkenaan, sebanyak 25 pemeriksaan membabitkan 78 jenis barangan keperluan persekolahan dilakukan di premis kedai runcit, kedai serbaneka, pasar raya mini dan pasar raya besar.

"Daripada keseluruhan pemeriksaan itu, kita dapati ada satu premis yang membuat keuntungan tidak munasabah dan kita telah hantar notis bertulis kepada mereka untuk mendapatkan maklumat selanjutnya.

"Notis bertulis ini, dalam tempoh enam hari mereka perlu kemukakan maklumat kepada kita untuk pastikan jika didapati harga yang dijual melebihi daripada harga catut kita akan buat tindakan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jualan Ihsan Rahmah Kembali Ke Sekolah di Pasar Raya Besar Mydin Meru, di sini pada Rabu.

Kamalludin (kiri) menyantuni pelanggan yang membeli barangan kelengkapan persekolahan selepas melancarkan Program Jualan Ihsan Rahmah Kembali Ke Sekolah di Pasar Raya Besar Mydin Meru di sini pada Rabu.
Kamalludin (kiri) menyantuni pelanggan yang membeli barangan kelengkapan persekolahan selepas melancarkan Program Jualan Ihsan Rahmah Kembali Ke Sekolah di Pasar Raya Besar Mydin Meru di sini pada Rabu.

Sementara itu, Kamalludin turut berharap orang ramai tampil membuat laporan kepada KPDN jika mendapati harga jualan barangan keperluan tidak munasabah bagi membolehkan pemeriksaan dan tindakan diambil kepada peniaga.

Dalam perkembangan berkaitan, KPDN Perak melancarkan Program Jualan Ihsan Rahmah Kembali Ke Sekolah Peringkat Negeri Perak yang bertujuan meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jualan tersebut bermula pada 6 hingga 10 Mac 2024 itu diadakan serentak di 36 pasar raya terpilih di Perak dengan tawaran diskaun di antara 10 hingga 30 peratus.

Kamalludin (kanan) menunjukkan harga beg sekolah yang ditawarkan selepas melancarkan Program Jualan Ihsan Rahmah Kembali Ke Sekolah di Pasar Raya Besar Mydin Meru di sini pada Rabu.
Kamalludin (kanan) menunjukkan harga beg sekolah yang ditawarkan selepas melancarkan Program Jualan Ihsan Rahmah Kembali Ke Sekolah di Pasar Raya Besar Mydin Meru di sini pada Rabu.

"Program ini selari dengan pendekatan kementerian dalam menangani kos sara rakyat melalui usaha sama pelbagai pihak. Inisiatif KPDN Perak ini diharap dapat membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan sekolah yang berkualiti seiring jenama produk yang ditawarkan.

"Bagi mendapatkan maklumat berkaitan Program Jualan Ihsan Rahmah, pengguna disaran melayari laman rasmi KPDN dan mengikuti akaun media sosial rasmi KPDN Perak," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!