Warga emas maut dilanggar MPV terbabas
MARAN - Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan dalam nahas di Kilometer 106, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur di sini semalam.
Dalam kemalangan kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa, Abdul Ghani Imam Awang, 80, dari Kampung Pesagi, Chenor di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu Perodua Alza, Hasnah Awang Yahya, 51, cedera di bahagian dada.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati pemandu Perodua Alza yang juga kakitangan Amanah Ikhtiar Malaysia Cawangan Jengka dipercayai dalam perjalanan dari arah Jengka menghala ke Temerloh, sementara mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari arah bertentangan.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, MPV dipandu Hasnah dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan masuk semula ke laluan sebelah kanan.
"Wanita itu gagal mengawal kenderaannya hingga termasuk ke laluan bertentangan dan terlanggar motosikal mangsa yang berada di laluan tersebut," katanya.
Norzamri berkata, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!