JDT terbuka lepaskan pemain negara lebih awal

Kenyataan Alistair mengenai pelepasan pemain JDT untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan. Foto Facebook Johor Southern Tigers
Kenyataan Alistair mengenai pelepasan pemain JDT untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan. Foto Facebook Johor Southern Tigers
A
A
A

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) mengambil sikap terbuka apabila sedia melepaskan pemain mereka lebih awal bagi menyertai kem latihan pusat pasukan negara iaitu pada 15 Mac ini berbanding kalendar antarabangsa 18 Mac.

Skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan-gon akan mengharungi dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada 22 dan 26 Mac depan.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards berkata, skuad Harimau Selatan menggunakan budi bicara melepaskan pemain tujuh hari sebelum perlawanan pertama sekali gus mengikut praktis global berhubung panggilan untuk pasukan kebangsaan.

"Kebanyakan skuad kebangsaan di seluruh dunia hanya memanggil pemain mereka semasa jendela perlawanan yang disediakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"Namun JDT bersetuju untuk menggunakan budi bicara kami dalam melepaskan pemain tujuh hari sebelum perlawanan pertama.

"Sebagai contoh, jendela FIFA seterusnya adalah dari 18 hingga 26 Mac. Malaysia dijadualkan bermain kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 22 Mac.

"JDT akan melepaskan pemain kami seawal 15 Mac. Dalam peraturan bola sepak, kelab hanya perlu melepaskan pemain pada 18 Mac," ujar Alistair menerusi kenyataan di laman rasmi JDT.

Justeru JDT juga percaya barisan pemainnya yang menjadi tonggak skuad kebangsaan tidak akan berdepan masalah untuk memberikan persembahan terbaik bagi dua aksi penting berdepan Oman.

Artikel Berkaitan:

"Memandangkan sebahagian besar pemain utama skuad Malaysia adalah daripada JDT, kami percaya pemain JDT yang dipanggil ke pasukan kebangsaan akan dapat membina persefahaman dan kecergasan.

"..melalui latihan berintensiti tinggi dan kemudahan fasiliti bertaraf dunia kami di Pusat Latihan JDT," katanya.

Sebagai rekod, sembilan pemain skuad Harimau Selatan dipanggil menyertai kem latihan pusat pasukan negara iaitu Ahmad Syihan Hazmi, Matt Davies, Endrick dos Santos, Romel Morales dan Arif Aiman Hanapi.

Turut berada dalam senarai ialah Syamer Kutty Abba, Shahrul Saad, Junior Eldstal dan Corbin Ong.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!