Kedah ada kekangan suntik dana, pelawa pihak luar bantu KDA FC

Muhamad Radhi pada sesi penggulungan di DUN Kedah pada Rabu.
Muhamad Radhi pada sesi penggulungan di DUN Kedah pada Rabu.
A
A
A

KERAJAAN Kedah mempunyai kekangan untuk menyuntik dana sepenuhnya bagi membantu kemelut kewangan Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas pasukan bola sepak itu diswastakan tahun lepas.

Exco Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan negeri, Muhamad Radhi Mat Din berkata, sehubungan itu kerajaan negeri mempelawa mana-mana pihak untuk tampil membantu menaja pasukan tersebut yang dihimpit masalah kewangan.

Menurutnya, walaupun pasukan tersebut membawa nama Kedah, namun campur tangan kerajaan negeri agak terhad.

“Sebelum diswastakan, isu ini adalah bidang kuasa kita selaku kerajaan negeri, namun kita juga berharap isu ini dapat diselesaikan dengan baik.

“Kita tawarkan kepada mana-mana pihak yang ada hasrat untuk melihat pasukan bola sepak Kedah bangun semula, tampillah bantu KDA FC. Jika ada yang ‘ada hati’ lihat Kedah bangun, bangunkanlah,” katanya ketika sesi penggulungan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Muhamad Radhi berkata demikian ketika menjawab pertanyaan dikemukakan Loh Wei Chai (PH-Bakar Arang) tentang usaha kerajaan negeri membantu pasukan bola sepak Kedah yang berhadapan dengan masalah dana sehingga menyebabkan gaji pemain tertunggak.

Muhamad Radhi memaklumkan, kemungkinan sudah ada petanda positif apabila pasukan tersebut sudah kembali menjalani latihan sejak Selasa.

“Isu ini terlalu sensitif tetapi pasukan sedang bergerak, pasukan KDA FC mula berlatih dan kita doakan isu ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau meminta semua pihak agar tidak terus mempolemikkan isu tersebut terutama berkaitan khabar angin yang mengatakan pemain KDA FC terpaksa bekerja di gerai makan dan mencuci pinggan.

“Masalah itu agak minimum berbanding masalah rakyat lain yang tak dapat beras pun banyak. Ini peratusan kecil selaku (saya) pernah berada di situ.

“Sebenarnya kerajaan negeri juga teruja untuk membantu namun ada kekangan seperti dimaklumkan Menteri Besar, ada terma tertentu yang perlu dipatuhi,” jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!