Persepsi pelancongan Thailand lebih hebat harus dikikis
ALOR SETAR - Persepsi yang mengagung-agungkan pelancongan di Thailand lebih hebat berbanding negara ini harus dikikis kerana Malaysia telah mengalahkan negara itu dari aspek kehadiran pelancong pada tahun lalu.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, walaupun jumlah pelancong tempatan ke Thailand lebih tinggi berbanding kemasukan pelancong Thailand ke negara ini, namun Malaysia mendahului negara gajah putih itu dalam senarai 'The Most Visited Country in Southeast Asia throughout 2023'.
Menurutnya, laporan oleh VN Express International berpangkalan di Vietnam pada 27 Februari melaporkan Malaysia menduduki tempat pertama dengan kehadiran hampir 29 juta pelancong, sementara Thailand di tempat kedua dengan 28 juta, diikuti Singapura (13.6 juta), Vietnam (12.6 juta) dan Indonesia (11.7 juta).
“Thailand mempunyai banyak destinasi dan produk pelancongan yang kuat daya penariknya bukanlah mitos, ia juga bukan fakta baharu.
“Sebenarnya daya penarik Thailand sentiasa ada dan yang mengukuhkan lagi daya penarik itu sebenarnya persepsi kita yang sudah terasuh untuk percaya bahawa mereka lebih hebat daripada kita,” katanya ketika sesi penggulungan DUN Kedah pada Rabu.
Mohd Salleh berkata, ini menunjukkan Thailand sendiri berdepan dengan masalah pasang surut pelancongan domestik.
“Menurut laporan The Nation, sebuah akhbar terkemuka Thailand pada 5 Mac 2024, menyiarkan berita yang menyebut hasil kajian menunjukkan lima destinasi pilihan rakyat Thailand bagi tujuan melancong tahun ini ialah Jepun, Korea Selatan, Tanah Besar China, Australia dan Singapura.
“Malaysia tiada dalam senarai, namun kita yakin Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) tidak akan berdiam diri dan akan berusaha memastikan Malaysia berada dalam senarai itu suatu hari nanti,” ujarnya.
Menurutnya lagi, pelbagai usaha dilakukan untuk menarik pelancong tempatan yang menuju ke Thailand singgah di Kedah termasuk pelancong luar yang berada di Thailand untuk meneruskan perjalanan ke negeri ini.
“Dengan kerjasama Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN), Motac dan agensi-agensinya serta semua pemegang taruh, kita sentiasa berusaha ke arah itu.
“Beberapa langkah promosi lebih agresif dirancang, pakej-pakej menarik dengan kerjasama pemain industri sedang disusun, selain acara berimpak tinggi dirancang, termasuk produk sedia ada terus digilap. Produk-produk baharu juga akan dibangunkan,” jelasnya.
Mohd Salleh memaklumkan, antara perancangan ialah mengenengahkan budaya masyarakat Siam di Kedah sebagai satu elemen penarik, terutamanya kepada pelancong Thailand.
“Usaha lain termasuk memberi nilai tambah kepada produk sedia seperti Jerai Geopark, Sungai Merbok River Cruise, Muzium Arkeologi Lembah Bujang dan sebagainya, selain menaikkan imej Gunung Keriang,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan usaha juga sedang dibuat untuk bangunkan pulau berpotensi seperti Pulau Songsong dengan kaedah yang tidak merosakkan ekosistemnya sebagai tarikan pencinta alam semula jadi.
“Memang benar Kedah memiliki banyak pulau yang boleh diangkat sebagai produk pelancongan. Selain Pulau Langkawi, empat pulau telah disenaraikan sebagai Pulau Taman Laut, iaitu Pulau Payar, Pulau Kaca, Pulau Lembu dan Pulau Segantang.
“Pembangunan pulau secara umumnya tidak boleh dilakukan sebarangan. Ada terma peraturannya ditetapkan terutama oleh PLANMalaysia. Setiap pulau harus ditangani dengan garis panduan sedia ada,” jelasnya.
Mohd Salleh berkata, status pulau tersebut juga harus ditentukan sama ada ia ‘pulau perdagangan’ seperti Pulau Langkawi, Pulau Pinang dan Pulau Labuan, atau ‘pulau peranginan’ seperti Pulau Pangkor dan Pulau Tioman, atau pulau taman laut atau pulau dilindungi.
“Selain mengenal pasti statusnya, pembangunan pulau juga memerlukan kajian mendalam mencakupi pelbagai aspek, terutama kesannya terhadap komuniti marin, selain kajian terhadap persepsi komuniti tempatan,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!