Pas buka pintu kerjasama dengan KRPPM-IGAR, reformasi institusi
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pas membuka pintu kerjasama dengan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) untuk membawa agenda reformasi dalam institusi.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu sentiasa menyambut baik usaha mana-mana pihak bagi membawa kebaikan kepada rakyat dan negara ini.
Tambah beliau, inisiatif yang diperjuangkan oleh kumpulan itu sewajarnya disokong sekiranya mahu melihat Malaysia ke arah yang lebih baik.
"Pas mengalu-alukan mana-mana pihak yang berusaha untuk memastikan nilai-nilai baik itu dapat kita laksanakan.
"Yang mana di dalam Islam disebut mahmudah iaitu sifat terpuji yang perlu disokong," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Terdahulu beliau menerima kunjungan hormat daripada kumpulan itu di bangunan Parlimen.
Turut hadir, Sekretariat KRPPM-IGAR yang juga Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia(#RasuahBusters), Nurhayati Nordin; Pengasas Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel; Ketua Pegawai Eksekutif (Ideas), Dr Tricia Yeoh; Pengarah Yayasan Cerdik, Shah Hakim Zain; peguam, Christopher Leong: pakar perlembagaan, Maha Balakrishnan dan lain-lain.
KRPPM-IGAR membawa lapan tuntutan terhadap reformasi institusi iaitu pertama, pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010; kedua, Penggubalan Akta Perolehan; ketiga, Reformasi Parlimen; keempat, Pemisahan Kuasa Antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya; kelima, Penggubalan Akta Pendanaan Politik; keenam Perlaksanaan Penuh Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP); ketujuh Reformasi SPRM dan kelapan, Pindaan kepada Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Dalam pada itu menyentuh berhubung lapan tuntutan kumpulan ini, Tuan Ibrahim berkata, buat masa ini pihaknya mencadangkan supaya difokuskan kepada tiga tuntutan terlebih dahulu.
"Saya sarankan tumpuan kita fokus kepada tiga terlebih dahulu iaitu pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010; Reformasi Parlimen dan Penggubalan Akta Pendanaan Politik," katanya.
Sebelum ini, Pengerusi KRPPM-IGAR, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, tuntutan yang dicadangkan oleh kumpulan itu berhubung membawa agenda reformasi dalam institusi, kini memasuki fasa baharu dan menunjukkan petanda positif untuk dilaksanakan.
Kata Syed Ibrahim, tuntutan kumpulan itu mengenai pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya misalnya telah mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang kini dalam peringkat perincian sebelum ia dapat dilaksanakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!