Polis rakam keterangan Che'gubard, Muhammad Zahid

Mohd Shuhaily
Mohd Shuhaily
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan pihaknya merakam keterangan Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che'gubard dan bekas Setiausaha Politik, Tun Dr Mahathir Mohamad, Muhammad Zahid Md Arip di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Rabu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan kedua-dua individu berkenaan dijalankan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

"Kedua-dua individu ini dirakam keterangan berhubung kenyataan yang mempersoalkan isu pemberian kereta oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dimuat naik di media sosial, TikTok.

"Sesi rakaman percakapan berkenaan dijalankan pada jam 11 pagi oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan Undang-undang (D5)," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Mohd Shuhaily berkata, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kes ini masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

"Jadilah pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan platform berkenaan dengan menyalahi undang-undang," katanya.

Tambah beliau, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Che'gubard bersama Muhammad Zahid tampil di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk dirakam keterangan berkaitan video yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong.

Isnin lalu, polis memaklumkan pihaknya membuka kertas siasatan ke atas Che'gubard dan Muhammad Zahid berhubung video terbabit.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!