‘Beri penjelasan gagal dapatkan konsert Taylor Swift’ - Sasha Lyna

Sasha Lyna (kiri). Taylor Swift (kanan) semasa konsert The Eras Tour,
Sasha Lyna (kiri). Taylor Swift (kanan) semasa konsert The Eras Tour,
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meminta penjelasan daripada kerajaan berhubung peluang keemasan yang terlepas untuk menjadikan negara sebagai tuan rumah bagi konsert The Eras Tour, yang membawakan penyanyi, Taylor Swift.

Timbalan Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu, Sasha Lyna Abdul Latif berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh perlu memberikan penjelasan berhubung perkara berkenaan.

"Laporan menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia di bawah pentadbiran sebelum ini pernah mempunyai perbincangan awal dengan penganjur konsert Swift.

"Kita perlu faham mengapa peluang keemasan ini tidak diusahakan terutamanya apabila melihat kejayaan Singapura mendapat peluang penganjuran konsert tersebut," kata Sasha dalam satu kenyataan pada Rabu.

The Eras Tour dikatakan bakal menjadi jelajah muzik tertinggi dengan jangkaan pendapatan yang mencecah AS$4.1 bilion di Singapura sahaja.

Sementara itu, Sasha turut menekankan potensi manfaat ekonomi yang dapat dinikmati oleh Malaysia, termasuk peningkatan pendapatan bagi sektor pelancongan, perhotelan dan barang dagangan.

Tambahnya, majoriti penduduk Islam di Indonesia juga menyatakan minat sama untuk menjadi tuan rumah siri jelajah berkenaan dan menekankan status Swift sebagai ikon antarabangsa yang positif.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan tindakan kerajaan semasa sama ada pihak berkenaan ada menjalankan sebarang usaha untuk melakukanya atau tidak.

"Orang ramai berhak mendapatkan penjelasan lebih-lebih lagi Singapura proaktif dalam melakukan pendekatan sebegitu.

“Adakah pihaknya gagal untuk memahami rangsangan ekonomi jelajah konsert besar seperti Swift atau mereka tidak cekap?

“Perdana menteri dan Kabinet juga tidak boleh berdiam diri atau mengelak daripada bertanggungjawab terhadap perkara ini,” tegasnya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Singapura menyediakan geran bagi membantu membawa penyanyi antarabangsa tersebut ke republik itu dalam jelajah The Eras Tour.

Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong menjelaskan, insentif dan perjanjian ekskusif diberikan kepada Swift untuk membuat persembahan hanya di Singapura dan bukan negara lain di Asia Tenggara.

Dalam kenyataan bersama Kementerian Kebudayaan dan Lembaga Pelancongan Singapura berkata, pihak berkuasa telah bekerjasama secara langsung dengan penganjur konsert berkenaan.

Pada masa sama, Swift berjaya melaksanakan enam pertunjukan dengan tiket jualan habis dijual di Singapura yang menjadi satu-satunya perhatian di Asia Tenggara.

Sebelum ini, Malaysia dilaporkan hampir berpeluang untuk berkolaborasi dengan penyanyi bintang pop Amerika Syarikat (AS) itu, namun terlepas peluang itu kepada Singapura.

Swift berada dalam radar kerajaan Malaysia selepas menandatangani kontrak dengan syarikat pengurusan tempat di Amerika Syarikat (AS) pada 2022 untuk menjadikan Kuala Lumpur Sports City di Bukit Jalil sebagai tarikan untuk acara sukan dan hiburan.

Walau bagaimanapun, difahamkan perjanjian tersebut tidak dimanfaatkan apabila Anwar menjadi Perdana Menteri, manakala syarikat di AS mengurangkan rundingan untuk mengoptimumkan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!<

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!