Tukang gunting didakwa pukul ibu guna tukul besi bebas tuduhan bunuh
SHAH ALAM - Seorang lelaki yang didakwa menyebabkan kematian ibunya dengan memukul mangsa menggunakan kasut keselamatan dan tukul besi dalam kejadian di Kampung Jawa di sini pada 28 Februari lepas, dibebaskan daripada pertuduhan itu pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tukang gunting rambut berumur 33 tahun itu bagaimanapun ditahan semula atas kesalahan penyalahgunaan dadah.
"Sepertimana arahan mahkamah, suspek kes jenayah dibebaskan dan tidak dikenakan apa-apa pertuduhan kerana didapati punca kematian mangsa adalah akibat serangan jantung," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, polis kini dalam proses untuk mendapatkan arahan pertuduhan bagi kesalahan penyalahgunaan dadah terhadap suspek.
Dalam perkembangan lain, Mohd Iqbal berkata, tempoh tahanan reman terhadap seorang pemandu lori yang disyaki membunuh teman wanita dengan menolaknya dari tingkat 23 sebuah kondominium di Setia Alam pada 29 Februari lepas, disambung dua hari lagi bermula esok.Menurut Mohd Iqbal, ketika ditahan sebelum ini, suspek yang mempunyai rekod dadah dan jenayah juga didapati positif dadah jenis methamphetamine selepas ujian saringan air kencing dilakukan.
Beliau berkata, kebenaran lanjutan tempoh reman suspek warga tempatan berumur 37 tahun itu dikeluarkan Mahkamah Majistret pagi tadi.
"Majistret Farah Rosnan membenarkan permohonan pihak polis bagi membolehkan siasatan lanjut dapat dijalankan," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita warga Thailand maut dipercayai ditolak teman lelakinya dari tingkat 23 sebuah kondominium di Setia Alam, yang menurut saksi, berlaku pergaduhan antara suspek dan mangsa sebelum wanita berkenaan ditolak dan terjatuh di tingkat tujuh kondominium berkenaan. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!