Jangan main isu politik yang memecahbelahkan rakyat - Tengku Mahkota Pahang
KUALA LIPIS - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengingatkan pemimpin di negeri itu supaya mengelak daripada memainkan isu politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.
Baginda bertitah, parti politik hanyalah ‘halaman’ kepada amalan demokrasi kepada pentadbiran negara dan negeri, justeru parti politik tidak seharusnya dibiarkan menjadi pemecah perpaduan rakyat.
"Jangan disebabkan politik, rakyat saya berpecah-belah dan bertelagah.Tidak ada apa-apa yang lebih menggembirakan saya daripada melihat rakyat yang dikasihi hidup dalam suasana sejahtera, aman dan bersatu padu," titah baginda di Dataran Santuari Kampung Tanjung Gahai di sini selepas menamatkan Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024 yang berlangsung empat hari bermula Ahad lepas.
Turut mengiringi baginda Tengku Panglima Raja Brigedier Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah serta Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Tengku Hassanal bertitah, selain melindungi rakyat Pahang, baginda juga perlu menyatupadukan rakyat dalam semangat kekeluargaan dan sayang menyayangi.
"Program ini (Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang), menjadi asas kepada tali silaturahim antara saya dengan rakyat, di samping menjadi satu amanah yang dipertanggungjawabkan kepada saya.
"Saya gembira melihat senyuman dan ketawa rakyat saya," titah baginda.
Tengku Hassanal bertitah, ekspedisi itu turut disifatkan platform terbaik kepada baginda untuk menyantuni rakyat.
Baginda menzahirkan rasa berbesar hati dapat bertemu puluhan ribu rakyat tidak mengira umur, latar belakang dan kaum termasuk orang asli negeri itu.
Dalam pada itu, baginda mengingatkan rakyat supaya menjaga kawasan hutan yang menjadi punca kepada aliran sungai.
Tengku Mahkota Pahang turut menitahkan kerajaan negeri mengenal pasti hutan yang menjadi punca aliran sungai sekali gus mewartakan kawasan tersebut sebagai kawasan tadahan air.
"Jangan benarkan sebarang projek pembalakan, pembangunan mahupun ladang-ladang dibuat di kawasan ini," titah baginda.
Ekspedisi sejauh 400 kilometer menggunakan bot atau perahu kajang yang suatu ketika dahulu menjadi alat pengangkutan awam utama penduduk yang menggunakan sungai sebagai jalan perhubungan itu, bermula di Pekan dan berakhir di Tanjung Gahai. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!